7 Jun 2018: UKM melonjak kedudukan apabila kini berada dalam kalangan 200 universiti terbaik dunia. Lonjakan yang membanggakan dari tangga 230 ke tangga 184 telah meletakkan UKM sebaris dengan universiti-universiti terkemuka dunia yang lain seperti Universiti Liverpool (151), University of Aberdeen (172), Queens University of Belfast (180) dan University of Reading (195). Fakulti Undang-Undang, UKM (FUU, UKM) sebagai antara pusat pengajian di UKM berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi kejayaan ini di samping menjadikan pengumuman oleh QS Quacquarelli Symonds ini sebagai suatu semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan ilmu dan budaya akademia bertaraf global. Berikut adalah petikan ucapan Y.Bhg. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor, UKM berikutan kejayaan UKM pada kali ini:-
“Askm dan Salam Sejahtera, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UKM, Warga UKM serta para Alumni yg saya hormati,
Semoga semua sihat sejahtera serta dirahmati Allah SWT dan didoakan agar Ramadhan membawa keberkatan.
Saya ingin berkongsi satu berita gembira dan membanggakan kita semua-QS World University Ranking 2018/19 (QS WUR 2018/19) secara rasmi diumumkan pada hari ini.
Syukur alhamdulillah, berkat usaha yang bersungguh-sungguh dan keikhlasan semua menyumbang dalam pelbagai cara, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini mencipta sejarah. Sekali lagi, UKM melonjak hebat dari tangga 230 ke tangga 184 didunia! Berdasarkan penarafan QS WUR ini universiti kita kini berada dalam julat 200 terbaik didunia (World’s Top 200)!
Satu pengiktirafan buat kita semua Warga UKM dan pastinya negara Malaysia yang tercinta. Setinggi tahniah dan terima kasih semua. Hadiah UKM buat rakyat Malaysia! Terima kasih Malaysia atas sokongan dan kepercayaan kepada kami di UKM. Universiti ini adalah universiti kita.
Dalam meniti ke usia 50 tahun sekitar 2 tahun lagi (18 Mei, 2020), kecemerlangan UKM kian menyerlah. Pastinya lonjakan ini adalah hasil titik peluh semua, dari tertubuhnya universiti ini sejak 48 tahun yang lalu (18 Mei, 1970). Kesarjanaan yang dibina serta impaknya kepada negara dalam pelbagai konteks menjadi teras utama kita. UKM Pendaulat Amanah Negara yang Mengilham Harapan dan Mencipta Masa Depan.
Kita bersyukur kepada Allah dengan kejayaan hebat ini dan pastinya diatas bahu kita semua untuk memastikan kecemerlangan UKM ini akan terus diperkukuhkan dimasa akan datang.
Tahniah UKM! UKM kini ditangga ke 184 di dunia. UKM Menjuarai!”
Maklumat ranking terbaharu UKM dan universiti terbaik dunia yang lain boleh dicapai pada laman sesawang berikut:- http://https://www.topuniversities.com/university-rankings/world-university-rankings/2019