Alhamdulillah, kerjasama Institut Islam Hadhari (HADHARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diperkukuhkan lagi dengan penganjuran bersama Program Pengukuhan Penghargaan Kendiri Anak Asnaf di Negeri Pahang. Program ini telah berlangsung pada 08 sehingga 09 Disember 2023, bertempat di Akademi YASA MUIP, Kompleks Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Ia juga dianjurkan dengan kerjasama pensyarah dan pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang turut dilantik sebagai penceramah serta fasilitator. Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu anak-anak asnaf di Pahang memantapkan penghargaan kendiri mereka supaya mereka dapat menjadi generasi kedua yang berdikari dan memantapkan jaringan Institut Islam Hadhari dengan komuniti setempat. Program bermula pada 08 Disember 2023 dengan sesi lawatan di sekitar Akademi YASA-MUIP bagi penentuan tempat untuk aktiviti eksplorasi dan sebelah malam pula sesi taklimat bersama para penceramah, fasilitator dan ahli jawatankuasa. Penceramah dan fasilitator adalah pensyarah, pelajar dan pegawai dari UKM dan UniPSAS.
.
Pada 09 Disember 2023 telah berlangsung Program Pengukuhan Penghargaan Kendiri Anak Asnaf di Negeri Pahang. Seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada anak asnaf (berumur 13 sehingga 17 tahun) telah terlibat dalam program ini. Aktiviti dimulai dengan bacaan doa oleh saudara Muhammad Al Mustaqeem Irsyaduddin Bin Mohd Idros, pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang juga fasilitator program. Seterusnya sesi ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md. Sham, FASc, Pengarah, Institut Islam Hadhari, UKM dan YBrs. Dr. Haji Asmadi Bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), MUIP serta taklimat program oleh YBrs. Dr. Ahmad Irdha Mokhtar, Felo Bersekutu HADHARI merangkap Pengerusi program. Setelah selesai sesi ucapan aluan dan taklimat, peserta dan para penceramah, fasilitator dan ahli jawatankuasa bergambar kenang-kenangan.
.
Aktiviti bagi program ini adalah sebahagian daripada Modul Pendidikan Kerohanian dan Penghargaan Kendiri Anak-anak Asnaf Negeri Pahang yang telah dibangunkan oleh Projek Penyelidikan Pembinaan Modul Bimbingan Pendidikan Kerohanian dan Penghargaan Kendiri (Self esteem) Bagi Anak-anak Asnaf Negeri Pahang (RH-2021-004) yang diketuai oleh YBrs. Dr. Ahmad Irdha Mokhtar. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah Taaruf, Keyakinan Diri, Nilai Diri, Eksplorasi dan Impian Diri.
Penutup program ini, telah diadakan sesi penyampaian hadiah dan sijil penyertaan kepada semua peserta, fasilitator serta penceramah. Puan Dura Wahida Binti Mohd Nordin selaku Pengurus Akademi YASA-MUIP telah memberikan ucapan aluan di majlis penutup.
.
Semoga sumbangan khidmat masyarakat ini sedikit sebanyak dapat membantu memantapkan penghargaan kendiri anak-anak asnaf di negeri Pahang dan memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara HADHARI, UKM dengan MUIP, Akademi YASA-MUIP dan UniPSAS. Sekalung penghargaan juga kepada staf Akademi YASA-MUIP yang banyak membantu bagi melancarkan perjalanan program ini.
.
𝐅𝐨π₯π₯𝐨𝐰 𝐀𝐚𝐦𝐒 π’π„πŠπ€π‘π€ππ† di Instagram https://bit.ly/instagramhadhari ,
Facebook https://bit.ly/Hadhari dan
Linkedin https://bit.ly/LinkedinHadhari
.
#SDG #SustainableDevelopmentGoals
#forumukm #wacanaukm #programukm #seminar #seminarnasional #seminarukm
#bengkeluniversitikebangsaanmalaysia #bengkelukm #wacanauniversiti #forumuniversiti #ukm #universitikebangsaanmalaysia #institutislamhadhari #iih #postgraduatestudies #postgraduatemalaysia #postgraduate #masterstudy #phd #phdlife #alumniukm #UKMInspire