News/Magazine
BANGI, 6 Jun 2023 – 3Rd Seminar On Scholar of Islamic Civilization (SSIC 2023) yang diadakan baru-baru ini telah membincangkan berkenaan pemeliharaan warisan intelek sarjana tamadun Islam, selain menggalakkan dialog antara budaya antara Malaysia dan Uzbekistan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap para sarjana tamadun Islam, kedua-dua negara dapat menyumbang kepada pembangunan dunia yang harmoni dan inklusif, yang meraikan kepelbagaian dan menghormati sumbangan intelektual semua budaya dan agama.
“Marilah kita merebut peluang ini untuk mengukuhkan ikatan antara negara kita, sambil kita memulakan perjalanan perkongsian ilmu dan persefahaman bersama.
“Bersama-sama kita membuka jalan untuk kerjasama masa hadapan, perkongsian akademik dan pertukaran budaya yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada majlis SSIC 2023 di sini.
Beliau berkata seminar itu menjadi bukti kepada kepentingan universal tamadun Islam dan peranan yang tidak ternilai yang dimainkan oleh para sarjananya.
“Ia adalah platform untuk kita berkumpul bagi bertukar idea dan intelek, meneroka pencapaian luar biasa, dan meneroka pengetahuan yang mendalam yang dimiliki oleh para sarjana terdahulu,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan yang luar biasa yang ditinggalkan oleh sarjana terdahulu merangkumi pelbagai disiplin termasuk teologi, perundangan, falsafah, seni dan sains sosial.
“Hasil kerja mereka telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan pada landskap intelektual, dan memberi inspirasi kepada generasi ulama yang akan datang.
“Semoga usaha kolektif kita membawa kita kepada penghayatan yang lebih mendalam terhadap tamadun Islam, kesarjanaan dan kebijaksanaan yang telah ditinggalkan oleh mereka (ulama’ terdahulu) kepada kita,” katanya.
Seminar yang diadakan selama dua hari secara hibrid itu adalah anjuran bersama antara Institut Islam Hadhari UKM dengan Kedutaaan Republik Uzbekistan di Malaysia, International Islamic Academy of Uzbekistan, Tashkent State University of Oriental Studies Uzbekistan, Centre of Islamic Civilization in Uzbekistan, Imam Bukhari International Scientific Research Centre Uzbekistan dan Imam Maturidi International Scientific Research Centre Uzbekistan.
Pada majlis tersebut juga, turut diadakan majlis pelancaran buku Muslim Scholars in Islamic Civilization dan penyampaian replika cek program khidmat masyarakat dan tajaan pendidikan kerjasama Institut Islam Hadhari dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. Majlis perasmian SSIC 2023 itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani dan Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc.
Untuk Berita Penuh Klik Link Ini: https://www.ukm.my/beritaukm/ssic-2023-bincang-pemeliharaan-warisan-intelek-sarjana-tamadun-islam/