Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Pusat IDEA UKM telah menganjurkan Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival of IDEAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tema “Kelestarian dalam Tindakan: Menangani Cabaran Perubahan Iklim Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat”.
Sidang Selari 8 ini dihadiri oleh Prof. Dato’ Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi dan Prof. Madya Dr. Wan Zawiah Wan Zin, Timbalan Pengarah Pusat IDEA UKM. Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Pusat Permata@Pintar Negara dan Pelajar Asasi Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) hadir memeriahkan forum ini.
Sidang ini diekndalikan oleh Prof. Dr. Muhammad Rizal Razman, Peneraju Kluster Penyelidikan Sumber Lestari Alam Sekitar dan Kehidupan Pintar UKM, sebagai moderator. Barisan panel terdiri daripada Prof. Joy Jacqueline Pereira, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), Prof. Dr. Siti Kartom Kamarudin, Pengarah Institut Sel Fuel dan Dr. Hartini Mohd Nasir, Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Sesi ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai status perubahan iklim yang dihadapi oleh dunia serta langkah-langkah yang diambil oleh agensi antarabangsa dan kerajaan dalam menangani isu berkaitan dengan perubahan iklim.
#IDEAUKM