Syarahan Professor Emeritus Dr. Muhamad Mat Salleh
13 Jan 2020 – Menelusuri Evolusi Industri Elektronik Bagi Merintis Kecemerlangan UKM Pasca 50 Tahun penubuhannya.
Kemajuan teknologi hari ini banyak bergantung kepada peranti elektronik. Pada awalnya, peranti elektronik dibina untuk tujuan sistem komunikasi, dan berfungsi dengan pengawalan elektron menerusi tiub vakum. Penggunaan bahan semikonduktor dalam peranti elektronik bermula tahun 1947. Namun perkembangan yang pesat berlaku pada tahun 1960 hasil inovasi teknologi semikonduktor silikon. Awal abad ke-21 merupakan zaman kegemilangan teknologi silikon yang berkembang pantas bagi memenuhi permintaan empat bidang utama; iaitu internet, komunikasi rangkai kerja, komunikasi mudah alih dan produk barangan pengguna. Mutakhir ini, tumpuan industri elektronik adalah kepada penghasilan peranti mudah alih dan “wearable” yang boleh dikategorikan kepada tiga teknologi, iaitu kesihatan, tekstil pintar dan barangan pengguna. Teknologi baru ini tidak bergantung kepada semikonduktor silikon semata-mata tetapi dihasilkan daripada bahan berasaskan nanoteknologi. Keistimewaan nanoteknologi adalah ia membuka ruang inovasi yang luas tanpa kos pembangunan infrastruktur yang tinggi. Ini memberi peluang untuk penyelidik tempatan meneroka penciptaan pelbagai peranti elektronik yang baru. Syarahan ini akan mengesyorkan satu bahan alternatif novel untuk aplikasi elektronik yang boleh dipelopori dan dimajukan oleh penyelidik UKM dan rakan sekutunya bagi menempa kecemerlangan UKM dalam era pasca 50 tahun penubuhan UKM.