Majlis Pengkomersialan Produk UKM “Buku Tafsir Nur Al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik”
(Last Updated On: )Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UKM serta Fakulti Pengajian Islam telah menandatangani Perjanjian Perlesenan bersama Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia bagi tujuan pengkomersialan produk “Buku Tafsir Nur Al-Ihsan Edisi Rumi dan Tahkik”.
Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi mewakili UKM dalam menandatangani perjanjian ini. Sementara itu, Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia diwakili oleh Haji Mohd Hassan Mansor selaku Yang Dipertua Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia.
Perjanjian ini melibatkan produk buku yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UKM dari Fakulti Pengajian Islam di bawah Pusat Kajian Al-Quran & Al- Sunnah yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Haziyah Hussin. Hasil penyelidikan ini adalah berkaitan dengan perumian dan pentahkikan Tafsir Nur al-Ihsan.
Antara yang turut hadir pada majlis ini ialah Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar, Penasihat Persatuan Keluarga Haji Muhammad Saaid Mufti Malaysia; Prof. Madya Dr. Wan Mohd Hirwani Wan Hussain, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UKM dan Prof. Madya Dr. Ahmad Sunawari Long, Dekan Fakulti Pengajian Islam.
Sumber : UKMOfficial