Anugerah Keselamatan Maklumat Nilai Tahap Kesedaran PTj Tentang Keselamatan Maklumat
Oleh Nur Batrisyia
BANGI, 28 Jun 2021 – Anugerah Keselamatan Maklumat Pusat Tanggungjawab (PTj) yang julung kali diadakan adalah untuk menilai tahap kesedaran PTj berkenaan Keselamat Maklumat di PTj masing-masing.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata dengan pengiktirafan anugerah keselamatan maklumat itu, ia membuktikan bahawa UKM sentiasa mendukung sistem pengurusan kawalan keselamatan maklumat.
“Melalui pengauditan ke atas aset maklumat, tindakan pembetulan dan penambahbaikan dapat diambil ke atas sebarang kelemahan, ketidakpatuhan atau kekurangan sedia ada demi memantapkan perlindungan kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan maklumat universiti.
“Usaha ini seterusnya dapat meningkatkan integriti dan keyakinan pemegang taruh terhadap keupayaan universiti kita dalam menjaga kepentingan bersama,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengumuman Pemenang Anugerah Keselamatan MaklumaT PTj baru-baru ini.
Katanya, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat UKM yang digunakan telah mendidik warga UKM mengenai betapa pentingnya mengawal keselamatan data dan maklumat di bawah skop kerja masing-masing.
Beliau berharap agar penganjuran anugerah itu bukan sahaja berjaya meningkatkan tahap kesedaran kakitangan dan membudayakan amalan terbaik keselamatan maklumat di PTj, malahan dapat membuktikan kepada dunia luar tentang kesungguhan UKM dalam menjaga keselamatan data maklumatnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat (CIO), merangkap wakil pengurusan ISMS UKM, Prof. Madya Dr Rozilawati Razali berkata penganjuran pengiktirafan anugerah itu menunjukkan bahawa UKM sentiasa berupaya untuk menjadi institusi terkehadapan dalam kawalan keselamatan teknologi maklumat di kalangan Universiti Awam di Malaysia.
“Ia juga menonjolkan lagi nama UKM di mata agensi pusat dalam mendokong Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat di era tanpa sempadan ini,” katanya.
Penganjuran yang dimulakan sejak bulan November 2020 adalah untuk menilai tahap kesedaran PTj berhubung Keselamatan Maklumat di samping membudayakan amalan terbaik keselamatan maklumat di PTj.
Sebanyak sembilan PTj mengambil bahagian iaitu Profesional-UKM, Kualiti-UKM, ROSH-UKM, Unit Audit Dalam UKM, Akademik-UKM, Unit Integriti UKM, Jabatan Bendahari (Unit Gaji) dan Pusat Teknologi Maklumat (PTM) Kampus Kuala Lumpur (KKL) dan K Bangi.
Pusat Jaminan Kualiti (Kualiti – UKM) telah dinobatkan sebagai pemenang pertama dan membawa pulang baucer geran berjumlah RM1,500 dan sijil, manakala PTM memenangi tempat kedua dengan membawa pulang baucer geran berjumlah RM1,000 berserta sijil.
Unit Integriti & Ombudsman UKM meraih tempat ketiga dengan mendapat baucer geran RM500 berserta sijil.