EMC sebagai pusat penyelidikan dan repositori data alam sekitar dan perubahan iklim
Tentang Kami
Pusat Pengurusan Alam Sekitar (EMC) adalah satu pusat yang ditubuhkan di bawah Institut Perubahan Iklim (IPI), UKM dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai satu pusat penyelidikan dan repositori data negara serta sebagai pusat rujukan KASA mengenai isu-isu termuncul berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim.
Fungsi jangka masa panjang EMC adalah untuk bertindak sebagai satu pusat rujukan kepada pihak KASA dalam penggubalan polisi dan dasar berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim. Seiring dengan hasrat ini, EMC sedang menubuhkan satu rangkain kerjasama kepakaran dikenali sebagai Jaringan Tindakan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (ME.CAN) yang akan mengumpulkan pakar-pakar berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim yang terdiri daripada ahli dalam dan luar UKM. Sebagai pusat rujukan KASA, EMC juga sedang membangunkan sebuah repositori data bagi mengumpul dan menyimpan data-data berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim. Antara bidang kajian dan penyelidikan yang akan dijalankan oleh EMC adalah diplomasi alam sekitar, pencemaran baru muncul, ekosistem, pendidikan, sosial, dan isu-isu termuncul lain berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim.
Fungsi Utama
Antara fungsi yang digariskan perlu dilaksanakan oleh EMC di dalam perjanjian tersebut adalah:
- Pembangunan inventori dan database bagi pengumpulan data serta polisi dan dasar berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim;
- Melaksanakan kajian/aktiviti penyelidikan berkaitan; dan
- Pusat rujukan dan khidmat nasihat Kerajaan bagi perkara berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim.
Bidang Tujahan Utama
Pencemaran baru muncul
Perancangan senario pencemaran dan ketersediaan kepada menghadapi kesan dan impaknya.
Ekosistem
Penilaian daya tahan ekosistem terhadap bahan pencemaran supaya tindakan kawalan pencemaran boleh diambil untuk memastikan kelestarian alam sekitar.
Pendidikan
Penilaian keberkesanan program CEPA dan pembelajaran berdasarkan pengalaman dalam menerapkan konsep dan tindakan perlindungan alam sekitar.
Sosial
Penyelidikan tentang Kesedaran dan Tingkah laku dalam Pengurusan sisa dan Keberkesanan polisi sedia ada yang berkaitan.
Diplomasi alam sekitar
Penilaian keberkesanan strategi dan hubungan diplomasi dalam menyelenggar masalah alam sekitar serantau.
Lain-lain
Isu- isu termuncul berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim.