Majlis Pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Sempena Bulan Koperasi Kebangsaan dan Sambutan 100 Tahun Koperasi.

Majlis Pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Sempena Bulan Koperasi Kebangsaan dan Sambutan 100 Tahun Koperasi.

Insiatif ANGKASA dalam menyokong agenda Penghijauan Malaysia melalui Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok adalah paparan sebenar semangat Keluarga Malaysia yang menjadi dasar kerajaan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Haji Omar, selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, ia juga memperkasa semangat muhibbah, khususnya kepada gerakan koperasi.

β€œLangkah menanam semula pokok sama ada di kawasan hutan, rizab hutan, kawasan awam atau institusi mampu menangani masalah pelepasan karbon yang meningkat setiap tahun bagi membantu menangani perubahan iklim. Ia juga mengurangkan risiko bencana banjir,” katanya.

Beliau turut berbangga dengan penglibatan banyak pihak dalam melaksanakan usaha ini, lebih-lebih lagi daripada kalangan pelajar sekolah dan universiti.

β€œIni adalah legasi anda semua. Mungkin dalam masa 20 tahun akan datang, kalian semua boleh datang semula dan lihat kembali pokok yang pernah ditanam,” ujarnya lagi.

Majlis pada hari ini menyaksikan Tan Sri Noh Bin Haji Omar menanam Pokok Merbau, pokok kebangsaan Malaysia yang merupakan pokok ke-100 sebagai simbolik kepada sambutan 100 tahun gerakan koperasi. Penanaman semula pokok di Taman Botani Negara Shah Alam menempatkan 150 pokok hutan pelbagai spesis yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. Penanaman pokok disertai 120 sukarelawan CoopCare ANGKASA, koperasi sekolah, Ekorelawan UKM dan ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Antara spesis pokok yang ditanam adalah Meranti Tembaga, Meranti Sarang Punai, Meranti Temak, Merawan Siput Jantan, Keruing dan Giam Lintah Bukit.

Menteri Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut hadir pula memberitahu, KeTSA akan memberi sokongan padu terhadap program-program sebegini dan turut menyatakan bahawa sasaran mereka adalah 100 juta pokok menjelang tahun 2025 ini.

β€œKami menyasarkan 20 juta pokok ditanam setiap tahun dalam jangka masa lima tahun daripada 2021 hingga 2025. Tahun lepas, 27 juta pokok telah berjaya ditanam manakala setakat hari ini, data menunjukkan bahawa sebanyak 35.8 juta pokok telah ditanam di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia yang ingin turut sama menyokong program ini agar mendaftar dan merekod tanaman mereka di dalam aplikasi Penghijauan Malaysia.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, Program Flagship Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) ini merupakan inisiatif berimpak tinggi ANGKASA untuk menggalak dan meningkatkan penglibatan 14,834 buah koperasi yang mempunyai 7.08 juta anggota di seluruh Malaysia demi merealisasikan misi penanaman sejuta pokok.

β€œProgram ini juga akan dilaksanakan dengan sokongan International Co-operative Alliance – Asia Pacific (ICA-AP) menerusi penglibatan hebahan oleh Jawatankuasa Belia dan Jawatankuasa Perhutanan (Youth and Forestry Committee) ICA-AP. ANGKASA turut bekerjasama dengan International Cooperative Alliance (ICA) pada peringkat global untuk mempromosikan program ini bagi mendapatkan sokongan dan penyertaan para koperator di seluruh dunia,” jelasnya.

Pada majlis yang sama, Tan Sri Noh Bin Haji Omar turut melancarkan modul Pendidikan dan Pembelajaran β€œSejuta Pokok Segunung Harapan” untuk dimanfaatkan oleh 2,460 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan berjumlah kira-kira 1.97 juta anggota individu. Modul ini diterbitkan secara kolaborasi antara ANGKASA dan Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara hutan dan alam sekitar serta memberi pendidikan asas berkaitan jenis dan fisiologi pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan penghasilan baja kompos, garis panduan pengukuran tumbesaran pokok dan penyelenggaraan tanaman pokok.

Modul ini akan dikongsi menerusi program Training of Trainers (ToT) yang akan dilaksanakan oleh ANGKASA dan UKM dengan anggota koperasi sekolah untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan usaha penanaman pokok untuk mengekalkan kekayaan biodiversiti negara serta memelihara sumber alam semulajadi.

Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok didokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini juga dilaksanakan dengan kerjasama erat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Muslimin Yahaya, Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya SKM, Encik Rusli Jaafar, Pengerusi IKMa, Datuk Wira Rosli Mat Hassan, Penaung Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok merangkap Penasihat PUSPANITA, KUSKOP, Puan Sri Prof. Datuk Dr. Aishah Salleh, Pengarah Perhutanan Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UKM, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Encik Kamal Badrin Hassan, Pengarah Taman Botani Negara Shah Alam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Puan Siti Zubaidah Mohamad, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi JPAN Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Abdul Razak Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.