Program Jelajah Kelestarian Alam: Dari Anak Muda kepada Dunia

Program Jelajah Kelestarian Alam: Dari Anak Muda kepada Dunia yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini dapat membantu usaha kerajaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Program yang menyediakan pelbagai pengisian seperti Sesi Tanya Menteri, β€œPlastic Clean-Up” dan pameran itu menyediakan platform kepada golongan muda untuk berinteraksi secara langsung dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menyampaikan harapan dan pandangan generasi muda kepada pembuat dasar peringkat tertinggi kementerian mengenai dasar-dasar perubahan iklim di Malaysia.

Kehadiran YB Nik Nazmi disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

YB Nik Nazmi menyatakan bahawa rata-rata belia menyatakan kebimbangan kepada dua isu yang dekat di hati mereka iaitu, perubahan iklim dan pencemaran plastik yang diterajui oleh NRES.

Beliau berkata pihak kementerian telah berkongsi dengan belia hari ini tentang insiatif terkini Kerajaan iaitu Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0), satu kerangka kerja yang dikemas kini bagi membimbing peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Sementara itu, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan pula menyatakan bahawa sebagai pewaris negara, generasi muda perlu diberikan pemahaman yang secukupnya untuk memastikan mereka dapat bergerak sederap dengan agenda negara dan dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memelihara kelestarian alam di negara kita.

Program yang dianjurkan oleh NRES dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Institut Perubahan Iklim UKM ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, En. Abd Shukor Jamaluddin dan Pengarah IPI, Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi.

Pada majlis ini juga turut diadakan sesi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan YPASM. MoU ini adalah usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar PERMATA@Pintar Negara melalui penglibatan penyelidikan dan isu-isu alam sekitar dan tadbir urus melibatkan Wilayah Polar yang amat unik.

Melalui MOU ini, pelajar PERMATA@Pintar Negara berpeluang ditempatkan di salah sebuah Makmal Polar di 10 universiti yang mempunyai jalinan kerjasama Smart Partnership dengan YPASM.

#UniversitiWatanKita
#IlmuMutuBudi
#UKM
#UKMSharing