Sesi Perkongsian Akademik dan Penyelidikan

Antara kakitangan dan pelajar yang turut sama dalam sesi perkongsian ini

Jabatan Parasitologi berbesar hati atas kesudian Dr. Mohamed Afiq Hidayat Bin Zailani, Pelajar Ijazah Sarjana Sains Perubatan Patologi untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan hasil kajian beliau yang bertajuk “Drone For Blood Product Transportation : AProof of Concept”.

Diadakan menerusi platform maya ZOOM, sesi perkongsian pada 15 Mac 2021, jam 11 pagi ini bukan sahaja dihadiri oleh kakitangan jabatan malah para pelajar jabatan turut sama memenuhi undangan sesi perkongsian ini.

Objektif utama sesi perkongsian ini adalah untuk berkongsi tentang kelebihan penggunaan drone bagi penghantaran produk darah terutamanya di kawasan terpencil dan pedalaman. Selain itu, ia juga turut membuka pandangan baru warga jabatan terhadap penggunaan drone yang semakin tidak asing pada saat ini.

Sesi dimulakan dengan ucapan aluan dan pengenalan daripada Ketua Jabatan. Dr. Syamsa Rizal Abdullah dan kemudian disambung dengan perkongsian Dr. Afiq. Antara perkongsian menarik daripada Dr. Afiq adalah mengenai kesingkatan masa yang diambil untuk menghantar produk darah dari satu hospital ke hospital yang lain. Sesi perkongsian ilmu ini kemudian ditamatkan pada jam 12.00 tengah hari selepas sesi soal jawab interaktif antara ahli jabatan dan Dr. Afiq.

Semoga sesi perkongsian yang bermanfaat ini dapat meningkatkan mutu dan prestasi jabatan dalam menjalankan kajian-kajian berkaitan. Semoga kakitangan jabatan terus maju dan bermotivasi untuk meneruskan penyelidikan di jabatan.