Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

SEJARAH PENUBUHAN

PENUBUHAN

Penubuhan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan (JPEP) telah difikirkan sejak perancangan penubuhan Fakulti Perubatan. Pada peringkat awal iaitu tahun 1972, Dr. Aw E. J. sebagai pensyarah Fakulti Perubatan, telah mengelola aktiviti penubuhan JPEP dan Mikrobiologi. Di peringkat awal ini tumpuan telah diberikan kepada pengambilan tenaga pengajar dan juruteknologi makmal. Antara kakitangan yang terawal adalah Encik Sulaiman Omar yang mula bertugas pada Januari 1973 dan telah dihantar ke Universiti Singapura manakala En. Hashim Baharam dan Nordin Abu Bakar ke Universiti Malaya untuk mengumpul bahan-bahan pengajaran.Kami perlu merakamkan di sini bahawa kedua-dua Universiti tersebut bersama-sama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah banyak membantu dalam pengumpulan bahan pengajaran.

PERMULAAN

Among the earliest lecturers who devoted themselves to developing the Department of Parasitology & Medical Entomology

Dr. A. Ambikapathy yang telah dilantik sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Parasitologi yang pertama pada penghujung 1974. Pada Julai 1975 Profesor Sri Oemijati telah dilantik sebagai Profesor dan Ketua di JPEP. Dr. Pakeer Oothuman yang sebelumnya telah dilantik sebagai tutor (September 1973) semasa berada di London School of Hygiene and Tropical Medicine telah diminta mengikuti kursus PhD. Dr. Sallehudin Sulaiman telah dilantik sebagai penolong pensyarah sambilan pada 16 Mei 1974 dan kemudian telah ke Liverpool School of Tropical Medicine untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana. Pengajaran mahasiswa pada masa masih di peringkat persediaan dan Jabatan hanya terlibat dalam pengajaran mahasiswa perubatan pada tahun 1975. Hampir kesemua pengajaran dikendalikan oleh Prof. Sri Oemijati dan Drs. Hoedojo (April 1975 – April 1977) dengan bantuan kakitangan IMR seperti Encik Cheong Weng Hooi, Dr. Ow Yang Chee Kong, Dr. Inder Singh, dan Dr. Mak Joon Wah manakala kelas amali dengan bantuan Puan Karen Lai, dan Encik Peter Yen juga dari IMR.

UKM Kuala Lumpur at Jalan Raja Muda Abdul Aziz

KEMASUKAN PENSYARAH

Dalam tempoh 1975-1978 lebih ramai pensyarah baru telah diambil iaitu Dr. Hamimah Idruss, Dr. Edariah Haji Abu Bakar, Drs. Mohamed Abdullah Marwi, Dr. Chan Boon Tek, Dr. Baharudin Omar, Dr. Wan Omar Abdullah dan Dr. Mohd. Zahedi. Kemudiannya, seramai empat bekas mahasiswa perubatan UKM telah kembali ke ‘alma mater’ sebagai tenaga pengajar iaitu Dr. Noor Hayati Mohd Isa, Dr. Che Ghani Mohammod, Dr. Sulaiman Osman dan Dr. Norhayati Moktar. Pengajaran di jabatan juga telah dibantu oleh Prof. Madya Dr. Sampurno Kadarsan (1977-1981) dari Indonesia.

PENEMPATAN JABATAN

Pada mulanya (1972-1973) kakitangan JPEP telah ditempatkan bersama kakitangan lain di bangunan bilik mayat Patologi (Tingkat 1) dan kemudian telah berpindah ke Tingkat 3 Bangunan MMA di Jalan Pahang. Pada tahun 1975, kakitangan JPEP telah berpindah ke bangunan sementara Fakulti Perubatan (berhadapan dengan Hospital Bersalin) yang dikenali sebagai ’Bangunan Kayu’ dan telah berkongsi satu tingkat bersama dengan Jabatan Kesihatan Masyarakat dan Jabatan Mikrobiologi. Semua kuliah disampaikan di Dewan Kuliah Neurologi HBKL dan amali dijalankan di bangunan sementara itu sendiri. Pada tahun 1978 JPEP bersama-sama jabatan lain telah berpindah ke bangunan UKM Cawangan Kuala Lumpur di Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

PERPINDAHAN KE PUSAT PERUBATAN UKM

Setelah lebih 35 tahun menjadi lokasi penting dalam melahirkan doktor-doktor perubatan UKM, maka pada Julai 2014 secara rasminya JPEP dan keseluruhan jabatan-jabatan praklinikal di UKM Kampus KL berpindah ke bangunan baru iaitu Blok Praklinikal di Pusat Perubatan UKM, Cheras. Pemindahan ini selaras dengan hasrat fakulti dan universiti untuk menempatkan keseluruhan pelajar-pelajar Fakulti Perubatan di bawah satu bumbung supaya sesi pengajaran, pembelajaran dan klinikal dapat dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan. Semoga penstrukturan lokasi ini akan mendorong JPEP secara khusus dan Fakulti Perubatan secara umumnya untuk terus menuju ke depan dalam merealisasikan hasrat murni UKM iaitu sebagai ‘Pendaulat Amanah Negara’.

All departments under the Faculty of Medicine have been relocated to the Pre-clinical Building