PAMERAN KESIHATAN - Felda Bukit Mendi

Pameran Kesihatan di Bukit Mendi: Inisiatif Kesihatan Sempena Program Karnival Jelajah Sihat Daerah Bera, Pahang.

Pada tarikh 29 Jun 2024, sebuah Pameran Kesihatan telah diadakan di Felda Bukit Mendi, Daerah Bera, Pahang dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang. Acara ini merupakan salah satu program dalam rangka program Karnival Jelajah Kekal Sihat Daerah Bera 2024, “One Hour Malaysia Clean Up” & COMBI, anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Bera. Terdapat banyak program kesihatan yang ditampilkan dalam pameran ini dan melibatkan juga pelbagai agensi kerajaan seperti AADK, Bomba, PDRM, Pusat Zakat Pahang, dan Unit Promosi Kesihatan Negeri Pahang. Bertempat di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Mendi, pameran ini telah menerima sambutan luar jangka dan dianggarkan lebih 800 orang pengunjung terdiri dari pelbagai lapisan maysarakat setempat dan pelajar sekolah telah memeriahkan karnival kesihatan ini.

Program ini diketuai oleh Dr. Zulkarnain Md Idris, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan dan dibantu oleh Pn. Nuraffini Ghazali dan En. Mohd Syahmi Abdullah. Antara tarikan utama pameran ini adalah pameran infeksi parasite seperti cacing dan model entomologi seperti nyamuk aedes, pepijat dan kutu kepala yang mendapat sambutan hangat dari pengunjung. Pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan penerangan yang dijalankan secara interaktif bersama pensyarah dan kakitangan jabatan.
Pameran Kesihatan di Felda Bukit Mendi telah mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dan memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan lebih maklumat kesedaran berkaitan jangkitan parasit. Kehadiran ramai pengunjung telah memberikan motivasi kepada jabatan untuk mengadakan lebih banyak lagi acara pameran seumpama ini di masa hadapan.