Kolaborasi Akademik: Syarahan dan Penyertaan Pensyarah Kimia UKM dalam Program KATALIS di UNP

 

Pada 28-31 Ogos 2024, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) Universitas Negeri Padang (FMIPA), Universitas Negeri Padang (UNP), telah menjemput tiga pensyarah daripada Jabatan Sains Kimia (JSK), UKM, iaitu Dr. Nurul Asikin, Dr. Wan Nur Aini, dan Dr. Nadhiratul-Farihin, untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Pelaksanaan Kerjasama UNP-UKM dalam Pembangunan Aktiviti Akademik dan Bukan Akademik untuk Pelajar Jabatan Kimia.” Selain itu, mereka turut menyertai Program Kimia Tanggap Lingkungan Sekitar (KATALIS) di Padang Pariaman, Indonesia, bersama 200 pelajar prasiswazah program kimia. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan JSK UKM kepada pelajar-pelajar UNP dan membincangkan potensi kerjasama masa depan antara JSK dan FMIPA. Di samping itu, Dr. Nurul Asikin juga dijemput untuk mengendalikan bengkel bertajuk “Penerokaan Struktur Liang: Pendekatan dalam Analisis Jerapan Fizikal menggunakan Instrumen Micromeritics Tristar II Plus,” di mana lebih daripada 30 pelajar prasiswazah hadir. Dalam bengkel ini, pelajar-pelajar didedahkan kepada asas-asas pengolahan dan interpretasi data Brunauer-Emmett-Teller (BET), yang penting dalam bidang sains bahan. Selain menyampaikan syarahan dan bengkel, ketiga-tiga pensyarah JSK turut mengambil bahagian dalam Program Kimia Tanggap Lingkungan Sekitar (KATALIS), yang merupakan aktiviti perkhemahan tahunan anjuran Universitas Negeri Padang. Program ini diadakan di Padang Sago, Kabupaten Padang Pariaman, Indonesia, dari 29 hingga 31 Ogos 2024. Aktiviti ini bertujuan memupuk jati diri pelajar, melatih mereka dalam ikhtiar hidup, mengukuhkan hubungan antara satu sama lain, serta menerapkan nilai-nilai murni dalam menghormati sesama manusia dan alam sekitar. Sepanjang program KATALIS, pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk majlis pembukaan, ceramah agama, sukaneka seperti tarik tali, aktiviti cungkil bakat, perbarisan kimia, campfire, dan aktiviti kemasyarakatan seperti pembersihan masjid. Turut diadakan adalah pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada guru-guru sekolah serta kursus pendek mengenai pembuatan minyak kelapa dara (virgin coconut oil, VCO) yang disampaikan oleh pensyarah UNP kepada penduduk kampung. Pengalaman yang diperoleh melalui program KATALIS memberikan nilai tambah yang besar bukan sahaja kepada para pelajar, tetapi juga kepada para pensyarah. Ilmu dan pengalaman yang dikumpul sepanjang program ini akan dibawa pulang ke UKM sebagai inspirasi untuk memperkayakan lagi projek-projek masa depan.