Lawatan Deligasi Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Padjadjaran (UNPAD)

Pada Ogos 2024, Dr. Wan Nurfadhilah telah melawat Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Padjadjaran (UNPAD). Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan, termasuklah kesinambungan penyelidikan semasa iaitu kajian yang melibatkan penggunaan muon dalam memahami struktur molekul dan interaksi bahan. Perbincangan turut merangkumi potensi untuk kajian bersama yang lain, penganjuran webinar bersama yang melibatkan pelajar dari FMIPA dan JSK, serta kemungkinan untuk mewujudkan Memorandum Perjanjian (MOA) antara kedua institusi.

Pada  Oktober 2024, FMIPA, UNPAD pula telah mengadakan lawatan ke JSK. Lawatan ini melibatkan dua orang pensyarah dari FMIPA, iaitu Profesor Dr. Risdiana dan Dr. Lusi Safriani. Mereka turut diiringi oleh seorang pelajar PhD, Diba Grace Auliya. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi, serta membuka ruang untuk kerjasama dalam bidang-bidang penyelidikan yang berkaitan. Ketua Jabatan Sains Kimia, Profesor Madya Chm. Dr Sharina Abu Hanifah, bersama dengan Dr. Wan Nurfadhilah, Dr. Nur Diyana Aqilah, Dr. Nurul Asikin, dan Dr. Mohamad Azuwa, turut hadir untuk menyambut rombongan dari FMIPA.

Sesi perbincangan telah diadakan semasa lawatan tersebut, dimulakan dengan sesi pengenalan antara kedua-dua pihak. Perbincangan yang dijalankan bertumpu kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan serta supervisi pelajar. Kedua belah pihak membincangkan kemungkinan untuk menganjurkan seminar bersama, serta menjalin kerjasama melalui Letter of Agreement (LOA). Selain itu, JSK juga memperkenalkan program-program yang ditawarkan kepada pelajar PhD, termasuk peluang kerjasama dengan institusi di Jepun dan pelbagai inisiatif penyelidikan antarabangsa.

Kolaborasi antara beberapa pensyarah daripada FMIPA dan JSK telah pun terjalin sebelum ini, yang menandakan hubungan akademik yang kukuh di antara kedua-dua institusi. Lawatan ini diharapkan dapat membuka jalan bagi kerjasama yang lebih erat antara FMIPA dan JSK dalam bidang penyelidikan dan akademik, serta memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua institusi.