Kolej Aminuddin Baki

 KAB

KAB EDUTOURISM

[KAB EDUTOURISM]
 
Pada 24 hingga 25 Februari telah berlangsungnya KAB Edutourism yang bertempat di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC). KAB Edutourism merupakan program anjuran bersama di antara Kolej Aminuddin Baki dan Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM). Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah kolej akademia ke arah pembangunan holitik yang melandaskan tiga aspek utama iaitu pendidikan, kelestarian alam dan pelancongan. Melalui program ini juga, peserta berpeluang untuk menikmati pengalaman pembelajaran yang unik menerusi interaksi antara manusia dan alam sekitar.
 
Program KAB Edutourism telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi. Di dalam ucapan perasmi TNC HEPI, beliau turut berterima kasih kepada KAB dan ALAF-UKM di atas penganjuran program kali ini. Beliau turut memberi sokongan kepada penganjuran program ini yang turut menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG). Dr. Lai Wei Sieng, Pengetua Kolej Aminuddin Baki di dalam ucapan aluan beliau juga turut memaklumkan iltizam KAB sebagai sebuah kolej akademia untuk menganjurkan program ini di Makmal Alami UKM yang lain bagi tahun yang mendatang.
 
KAB Edutourism juga turut menyaksikan pelepasan sebanyak 25 anak teratai ke Tasik Chini dengan bantuan kakitangan Pusat Penyelidikan Tasik Chini dan partisipasi seramai 43 warga Kolej Aminuddin Baki termasuklah pelajar antarabangsa UKM. Pihak Kolej Aminuddin Baki turut diberi peluang oleh pihak ALAF-UKM untuk membuka ruangan pameran KAB Edutourism di Galeri PPTC bersempena Sambutan Hari Rizab Biosfera Antarabangsa @ Tasik Chini. 
 
Diharapkan bahawa program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman serta memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa terhadap pemeliharaan khazanah alam.Pihak KAB juga ingin mengucapkan terima kasih  kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi di masa hadapan demi pembangunan pendidikan yang lebih holistik dan mampan.
 
Turut hadir adalah Prof. Dato’ Sri Dr. Mushrifah Idris Profesor Kehormat Pusat Pengurusan Makmal Alami & Fizikal UKM, Prof Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin, Ketua Pusat Pengurusan Makmal Alam & Fizikal UKM, Dr. Mohd Fadhli Shah Bin Khaidzir, Timbalan Pengetua Kolej Aminuddin Baki dan Saudara Mohamad Fareez Wajdi Bin Yusri Effendi selaku Ketua Pengarah KAB Edutourism.
 
#UKM
#UniversitiWatanKita
#UKMSharing
#KABSharing
#KABRoar
#SDG4
#ILMUMUTUDANBUDI