^ menu utama
Cabaran umat Islam masa kini
Oleh Dr Fauzi Deraman
ISLAM agama samawi terakhir
diturunkan Allah. Sebagai agama terakhir sudah tentu ia paling lengkap dan
sempurna. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah
(s.a.w.). Ia berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia.
Wilayahnya memanjang dari selatan China di Timur dan ke pantai Lautan Atlantik
di Barat, dari selatan Paris membawa ke Irian Jaya di Indonesia.
Umat Islam dikurniakan Allah
mendiami kawasan paling subur dan paling kaya di dunia. Mereka juga berada di
tengah laluan antarabangsa yang menjadikan rantau Islam ini idaman semua pihak.
Jatuhnya Khalifah Uthmaniah
Turki yang menjadi induk umat Islam dan mansuhnya sistem khalifah, hasil
perancangan jahat yang diketuai Mustafa Kamal Ataturk, berketurunan Yahudi
berasal dari Salonika dan tewasnya kerajaan ini dan sekutunya dalam Perang
Dunia Pertama menyebabkan wilayah umat Islam difaraidkan oleh penjajah sebagai
rampasan perang. British, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-lain
mendapat habuan masing-masing. Islam dan umatnya hasil daripada perancangan
teratur musuhnya serta disokong dengan kelemahan dalaman yang sedia ada telah
diasak dari dalam dan luar oleh penjajah dan tali barut mereka menyebabkan umat
Islam berada di tahap paling lemah dalam sejarahnya.
Namun begitu, umat Islam tidak
perlu pasif kerana Allah menjanjikan Islam tetap unggul. Rasulullah menegaskan,
akan tetap ada sekumpulan daripada umat Islam yang terus mempertahankan
kebenaran daripada gugatan musuh.
Belajar daripada kesilapan
lampau dan dengan kepemimpinan ulama yang mukhlisin, umat Islam bangun semula
dalam asakan dan serangan yang bertali arus itu. Umat Islam menapak semula
untuk bangun dan mengambil semula tempatnya di persada dunia.
Namun ia tidak semudah yang
diungkapkan kerana terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi.
Penulis dan pemikir Islam sudah
banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam. Abdul Kadir Awdah,
seorang pakar undang-undang Mesir yang gugur syahid di tali gantung pada zaman
Jamal Abdel Nasir, pernah mengungkapkan antara cabaran ummah ialah kejahilan
ummah itu sendiri dan kelesuan ulama.
Dr Muhammad Sayyid al-Wakil,
profesor sejarah Islam di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pula menyentuh
perancangan jahat musuh dan kejahilan umat Islam sendiri mengenai Islam.
Kefahaman dan penghayatan umat
Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar belakang mereka. Secara
umumnya terbahagi kepada dua. Pertama, golongan kurang terpelajar atau tidak
terpelajar. Golongan ini kadang-kadang tidak memahami langsung akan Islam
kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama. Keislaman mereka
sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili bahagian terbesar daripada
keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan golongan yang pada
pandangan mereka adalah terpelajar.
Kedua, golongan yang mendapat
pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata golongan ini
dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada
sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai
kedudukan yang baik dalam masyarakat.
Kelemahan golongan ini berpunca
daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca daripada
golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan
hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden,
sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya.
Bagi golongan yang faham Islam
pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan
menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha melaksanakannya
dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap zaman dan tempat
kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui.
Umat Islam juga sentiasa
menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam adalah daripada kalangan
yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan
manusia.
Daripada kalangan manusia, Allah
menegaskan dalam firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang
dengan kamu sehingga kamu mengikuti millah mereka. (Surah al-Baqarah: 126).
Bertitik tolak daripada sikap
tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka melakukan pelbagai usaha untuk
merosak dan menghancurkan umat Islam. Sejarah menyaksikan pertentangan
kedua-dua pihak ini mencetuskan peristiwa, tragedi dan kejadian pahit manis di
kalangan umat Islam.
Sasaran utama mereka adalah
akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan hukum Islam. Oleh itu
pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada pertentangan bersenjata yang
tergambar melalui beberapa siri Perang Salib yang silih berganti, namun mereka
tidak berjaya menghapuskan umat Islam.
Kaedah baru dicari selepas cara
pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan pemikiran. Ternyata cara ini
sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam. Mereka berselindung di sebalik
pelbagai wadah, institusi penyelidikan dan badan yang mereka bentuk untuk
menjadi boneka mereka.
Musuh Islam juga mengeksport
pelbagai pemikiran dan ideologi kepada umat Islam. Serangan ini berterusan
walaupun negara umat Islam dapat membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan
fizikal tetapi masih dijajah di segi pemikiran.
Yahudi dan Nasrani menggunakan
pelbagai saluran bagi mencapai hasrat mereka termasuk media, pakej bantuan dan
kebajikan yang berselindung di sebalik pelbagai tabung dan dana, misi
kemanusiaan dan seumpamanya. Tujuan utama mereka untuk menghancurkan Islam ke
akar umbinya.
Selain itu, umat Islam turut
menghadapi bebarapa cabaran dalaman. Antaranya masalah kemiskinan, krisis nilai
dan jati diri, pertentangan sesama sendiri dan kegagalan institusi ulama
memainkan peranan sebagai pewaris nabi yang menjadi pemandu ummah.
Faktor ini cukup untuk
menjadikan umat Islam sebagai golongan lemah dan terkial-kial untuk meneruskan
survival diri dan ummah. Kalau tidak kerana jaminan Allah yang akan tetap
membela dan melindungi mereka yang beriman, sudah tentu perkara yang lebih
teruk akan dihadapi umat Islam.
Setelah mengenali secara umum
beberapa cabaran umat Islam, kita dapat mengenal pasti faktor yang menghalang
umat daripada bangkit semula mengambil tempatnya sebagai guru dan pemimpin
dunia. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang prihatin dan peka dengan masa
depan umat untuk melakukan muhasabah dan belajar daripada sejarah lampau untuk
membolehkan kita menyusun langkah teratur dalam menuju masa depan yang
gemilang.
Kita perlu menoleh ke belakang
untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada generasi lalu dan melihat ke
hadapan dengan perancangan teratur bagi membolehkan umat Islam terus melangkah
dengan yakin dan bertawakal kepada Allah. Imam Malik r.a. berkata: “Tidak akan
baik golongan yang terakhir darpada umat ini kecuali dengan apa yang sudah baik
umatnya yang terdahulu.”
^ menu
utama