^ menu utama
Kecelaruan identiti remaja
banyak sebabnya
Oleh DR. SIDEK BABA
ISU identiti sering dihubungkan
dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan perilakunya
tetapi dikaitkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan ada kaitan dengan
potensi hari depan. Lebih jauh daripada itu, identiti remaja berkait rapat
dengan jenis kepimpinan dan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Ia
menentukan sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi
beban yang berpanjangan kepada masyarakat.
Ada petanda yang merisaukan
banyak pihak mengenai identiti sebahagian remaja kini. Remaja pada masa lalu
menghubungkan diri dengan isu-isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej
remaja sejak 30 tahun lalu cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai
landasan membangunkan sistem dan masyarakat.
Akibat kemajuan yang dicapai dan
cabaran globalisasi yang menghimpit, sebahagian remaja terjebak dalam zon
selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri, terjebak dengan kemelut
sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik yang
mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina-ilmu dan bina-negara dan lebih
ekstrem lagi ialah terjebak dengan kegiatan black-metal yang menyesatkan.
Statistik remaja yang terjebak
dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan dan
jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala AIDS/HIV semakin menakutkan. Apakah
imej yang sedang melanda remaja kini akibat daripada ketidakmampuan kita
mengurus kemajuan dan pembangunan? Adakah mereka menjadi mangsa atau akibat
daripada kealpaan kita tentang peranan mendidik, memberikan idea-idea pendorong
betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara? Adakah kita gagal
menterjemahkannya secara bijaksana dan strategik kepada mereka?
Kecelaruan sering dikaitkan
dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan
yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan dalam konteks
perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam
kehidupan.
Lebih pedih lagi kecelaruan
dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola
dan ‘diva’ yang bukan fitrah sifatnya, mengagumi proses pembaratan secara
melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak
lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun
bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada
masyarakat dan negara.
Kecelaruan
Amat tidak adil jika tanggapan
dibuat bahawa semua remaja terjebak dalam masalah kecelaruan ini. Tetapi
petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk kita membina rasa bimbang dan
resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas alasan berikut:
1. Gelagat remaja yang amat
terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.
2. Proses pembaratan yang
mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada
akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram
dan kehilangan arah.
3. Kehidupan beragama sedang
menjadi pertikaian antara ‘halal-haram’ pelanggaran salah-benar dan
maaruf-mungkar.
4. Memburu makna maju dan moden
tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran
kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).
5. Hilangnya rasa hormat dan
adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru-guru
malah masyarakat.
6. Tiadanya cita-cita besar
untuk bina-bangsa, bina-umat dan bina-tamadun hingga menyebabkan pudar azam dan
cita-cita besar membina umat dan negara.
Banyak sebab mengapa kecelaruan
berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah zaman yang amat kritikal dalam
hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan
kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung
kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.
Membentuk imej, watak dan
tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima
di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan
menyebabkan wujudnya kecelaruan ini:
1. Kecelaruan bermula apabila
rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan
watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak
yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak
merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan. Media elektronik banyak
berperanan mengambil tugas mendidik anak-anak. Ramai anak-anak yang mengalami
‘keciciran’ sejak pada awal umur lagi.
2. Ibu bapa tidak mempunyai ilmu
dan ketrampilan keibubapaan yang berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai
ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan
emosi mereka dan hubungkaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.
Akibatnya wujud lompang dalam
hati dan minda anak-anak dan akhirnya anak-anak membentuk minda, hati dan
tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitar yang terdapat.
3. Sekolah banyak berperanan
menyediakan anak-anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati
tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik
tidak berlaku. Berlakulah ‘keciciran’ kedua di kalangan anak-anak.
Umur yang amat kritikal bagi
seseorang manusia dari sudut Islam ialah dari kelahiran hari pertama hinggalah
ke tahap akil baligh. Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses
didik di tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan
seperti rebung yang sukar dilentur semula.
4. Masyarakat tidak menyediakan
suasana yang kondusif untuk remaja membentuk diri dan peribadinya ke arah peka
masyarakat dan peka sekeliling secara positif. Sebahagian remaja terlibat
dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan-kegiatan negatif dan
akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan yang lepas
bebas.
5. Sistem kenegaraan sendiri
tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja. Orientasi
dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan
akhlak dalam pembinaan diri remaja. Namun, media cetak dan elektronik tidak
dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan yang ketara apa yang dididik
di sekolah dan di rumah dengan apa yang ditampilkan oleh media cetak dan
elektronik. Akhirnya konflik wujud di kalangan remaja dan keadaan seperti ini
melahirkan kecelaruan.
6. Keadaan di atas diburukkan
lagi dengan isu-isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa
pendekatan mendidik dan ilmiah hingga menyebabkan sumber rujukan remaja mencari
bercelaru. Ada isu-isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka
dan ada isu-isu keagamaan yang perlu dibincangkan di kalangan orang yang
mempunyai keahlian.
Bayangkan isu-isu agama, imej
ulama dan persepsi tentang Islam menjadi polemik yang tidak sihat. Ia boleh
mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan
yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.
Para remaja harus diberi
bimbingan dan pedoman sejak awal umur lagi. Keterampilan keibubapaan amat
dituntut dan kasih sayang, belaian dan tunjuk ajar menjadi sesuatu yang tidak
boleh dielakkan. Kecelaruan akan berlaku sekiranya persekitaran negatif
membentuk anak-anak terutama ketika peringkat pertumbuhan akliah, emosi,
rohaniah dan jasmani sedang subur.
Perkara asas yang harus
disuburkan di kalangan remaja ialah jalinan komunikasi yang tinggi antara
remaja dengan ibu bapa. Ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik, menjelaskan
dengan sabar dan pendidik yang taat.
Para remaja pula harus memiliki
kesediaan dan keterbukaan untuk mendengar, berbincang, bertukar-tukar
pandangan, bertanya dan cuba memahami bahawa ibu bapa atau guru adalah orang
yang pernah melalui hidup seperti yang dilalui oleh remaja hari ini.
Perbezaannya cuma zaman di mana ibu bapa dibesarkan dan zaman bagaimana remaja
amat terdedah dengan pelbagai tarikan dan perkara-perkara yang merangsang
nafsu-nafsi.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
^ menu
utama