^ menu utama
ULAMA memberikan pelbagai pandangan
mengenai orang yang terbunuh di jalan raya. Pada dasarnya ia bergantung kepada
sebab berlakunya kejadian itu. Adakah ia disebabkan oleh kecuaian pemandu atau
menjadi mangsa kecuaian orang lain. Di sini boleh dibahagikan masalah ini
mengikut perspektif Islam.
Pertama, terbunuh dalam kemalangan
jalan raya disebabkan kecuaian sendiri seperti memandu laju melebihi had yang
dibenarkan dan dalam keadaan yang membahayakan atau memandu dalam keadaan
mabuk.
Kebanyakan ulama berpendapat perbuatan
demikian mengundang bahaya yang boleh dikategorikan sebagai mencampakkan diri
ke arah kebinasaan sebagaimana firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu
korbankan dirimu dengan tanganmu ke arah kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat
195)
Rasulullah bersabda seperti
diriwayatkan Thabir Dhuhak, maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri sendiri
dengan sesuatu benda, nescaya Allah azabkannya dalam neraka jahanam nanti
dengan benda itu.”
Mengikut Sahih Muslim, Abu Hurairah
menceritakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang membunuh diri
dengan besi, maka dengan besi itulah dia menikam dirinya dalam neraka jahanam
selama-lamanya, sesiapa yang meminum racun sehingga mati nescaya dia akan
meminum racun dalam neraka jahanam, sesia-pa yang terjun bukit dan mati,
nescaya dia akan terjun di dalam neraka kekal selama-lamanya.”
Berdasarkan keterangan ini menunjukkan
bahawa orang yang terkorban di jalan raya disebabkan kecuaian dirinya ketika
memandu adalah berdosa dan ada ulama yang menganggap orang yang mati sedemikian
adalah boleh dihukum membunuh diri dan berdosa besar kepada Allah.
Berpandukan hadis di atas, Rasulullah
yang menyebut sesiapa membunuh diri dengan besi, Allah akan azabkannya di
akhirat kelak dengan besi itu.
Malah di Arab Saudi pernah dikeluarkan
fatwa mengatakan bahawa orang yang terkorban dalam kemalangan jalan raya
disebabkan kecuaiannya adalah dianggap membunuh diri dan berdosa besar.
Oleh itu, pemerintah dan pihak berkuasa
Arab Saudi mengingatkan remaja bahawa mereka akan masuk neraka sekiranya
terkorban di jalan raya disebabkan kecuaian mereka sendiri ketika memandu
kenderaan.
Kedua, sekiranya seseorang pemandu yang
cuai itu hanya cedera parah atau cedera ringan, sedangkan orang yang menjadi
mangsa langgar, mati di dalam kemalangan itu adalah termasuk dalam hukum
membunuh dan berdosa besar.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah dalam
hadisnya: “Jauhilah kamu tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya: Apa
dia ya Rasulullah? Sabda Rasulullah: ialah syirik kepada Allah, sihir, membunuh
jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan benar, memakan harta anak yatim,
makan riba, lari dari medan peperangan dan menuduh perempuan yang baik dengan
zina.”
Kerana itu terbunuh di jalan raya
akibat kecuaian orang lain seperti menjadi mangsa pemandu mabuk atau mangsa
langgar lari, kebanyakan ulama mengklasifikasikan mati sedemikian adalah mati
syahid dunia selain mati kerana wabak penyakit, mati terbakar, mati sakit dalam
perut, mati lemas dan mati tertimbus.
Ulama juga mengkiaskan bahawa mati
terbunuh dalam kemalangan jalan raya, di kilang industri dan jatuh kapal
terbang dan seumpamanya adalah termasuk dalam mati syahid.
Perlu dijelaskan di sini bahawa mati
syahid dunia akibat kemalangan jalan raya ini bukanlah merangsangkan lagi
individu atau masyarakat untuk berkorban di jalan raya dengan harapan boleh
masuk syurga dan terlepas daripada azab kubur dan azab neraka.
Anggapan sebegini adalah salah kerana
dimaksudkan mati syahid di sini ialah keadaan mati itu ngeri dan menderita
sebelum menghembuskan nafas dan kerana itulah dinamakan syahid dunia, tetapi
bukan syahid dunia dan akhirat seperti gugurnya pejuang Islam di medan perang
untuk menegakkan kalimah Allah.
Tetapi orang yang mati syahid dunia ini
bergantung kepada amalan masing-masing ketika hidupnya iaitu adakah mereka
beriman dan melakukan amalan soleh sepanjang hayatnya. Janji dan pembalasan
Allah adalah bergantung kepada keimanan dan amalan seseorang.
Jadi jelaslah bahawa keadaan mati
seseorang itu bergantung ketika apa yang dilakukan ketika hidup sama ada baik
atau sebaliknya. Oleh itu, sebagai seorang Islam hendaklah melaksanakan segala
suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya.
Di antara suruhan Allah ialah
berdisiplin di jalan raya, mematuhi segala peraturan lalu lintas yang digubal
khas untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, menghormati dan bertolak
ansur serta sentiasa ingat kepada Allah kerana memandu itu adalah ibadat.
Setiap gerakan tangan, mata dan
pemikiran kita mendapat pahala daripada Allah selama mana hati kita sentiasa
ingat kepada Allah.
^ menu
utama