^ menu utama
Merawat kemelut
moral
Oleh
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
KITA
masih dibelenggu masalah disiplin dan akhlak pelajar seperti vandalisme, gejala
buli, pergaduhan, kegiatan samseng, memukul guru dan membakar sekolah.
Lebih
mengejutkan lagi, Kementerian Pelajaran mendedahkan bahawa kira-kira 76,300
atau 1.09 peratus daripada tujuh juta pelajar di negara ini terbabit dalam
pelbagai masalah disiplin. Perlu diinsafi bahawa rentetan peristiwa demi
peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan.
Sewajarnya
apa yang berlaku ini diberi perhatian serius dalam mendepani kemelut yang
meruncing. Umat Islam sewajarnya menginsafi apakah corak pendidikan dan asuhan
yang telah dan yang sedang dicurahkan kepada anak-anak muda itu masih tidak
mencukupi. Lantaran itu mereka begitu mudah terjerumus ke kancah yang
memudaratkan diri sendiri.
Malah,
ia mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Apakah fenomena
yang berlaku ini kerana mereka telah melupakan tanggungjawab masing-masing
dalam mendidik generasi muda?
Memang
tidak wajar kita memandang remeh terhadap apa yang telah berlaku dan seterusnya
menganggap ia masih belum serius dan dalam keadaan terkawal. Namun, kita mesti
berwaspada serta sentiasa beringat sepanjang masa. Jangan pula apabila masalah
menjadi serius dan parah, barulah kita mahu mengambil tindakan susulan padahal
ia sudah terlambat sebagaimana kata orang tua ‘sudah terantuk baru terngadah.’
Untuk
itu, umat Islam tidak usah menuding jari menyalahkan sesiapa terhadap krisis
akhlak dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Masih belum terlambat untuk
umat Islam merenung kembali terhadap sebarang kesilapan atau kekurangan yang
terselit sehingga melupakan tanggungjawab sebenar yang dituntut Islam dalam
mendidik generasi muda yang merangkumi ilmu dunia dan akhirat.
Menurut
Kamus Dewan, mendidik diertikan sebagai menjaga dan melatih sebaik-baiknya. Ia
bertindak sebagai ejen penyelamat generasi muda daripada terjerumus ke lembah
kehinaan. Generasi muda yang terdidik dengan iman, ilmu dan akhlak adalah
generasi yang mampu berdepan dengan cabaran zaman.
Tugas
mendidik perlu pikul setiap Muslim dalam komuniti masyarakat Islam. Perlu
ditegaskan skop didikan ini bukanlah sekadar memberi makan dan pakaian
secukupnya. Malah, ia mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan
sebenar.
Dengan
kata lain, mendidik adalah tugas melahirkan generasi Muslim yang menepati
ciri-ciri yang dinyatakan Allah dalam surah al-Mukminun dari ayat 1 hingga ayat
11.
Firman
Allah bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman! Iaitu mereka yang
khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan
perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan
menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatan mereka, kecuali
kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela;
kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah
orang yang melampau batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan
mereka yang tetap memelihara solatnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak
mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”
Tanggungjawab
mendidik sebenarnya satu tanggungjawab masyarakat. Ini kerana masyarakat secara
umumnya terdiri daripada pemimpin kepada rakyat sama-sama mempunyai peranan
dalam proses pendidikan ini.
Tanggungjawab
pemimpin dalam mendidik dapat dilihat melalui usaha mereka mewujud dan
menubuhkan pelbagai institusi pendidikan di pelbagai peringkat yang menawarkan
program pendidikan duniawi dan ukhrawi. Di samping itu, kerajaan juga
bertanggungjawab menyediakan tenaga pendidik mahir dalam pelbagai bidang
kelulusan untuk menaburkan khidmat kepada generasi muda Muslim. Kedudukan ini
dapat difahami melalui hadis Rasulullah s.a.w. yang seringkali mengingatkan
umat Islam mengenai tanggungjawab terhadap orang di bawah jagaan mereka.
Selanjutnya,
ibu bapa bertanggungjawab penuh mendidik generasi muda, malah mereka adalah
pendidik pertama kepada anak-anak. Tambahan pula, tanggungjawab mendidik paling
besar terletak di bahu mereka. Merekalah yang mencorakkan apakah jenis
pendidikan yang akan mewarnai hati, akhlak, perwatakan dan pemikiran anak-anak.
Sabda
Rasulullah s.a.w. bermaksud: Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan
dalam keadaan fitrah (suci dan bersih daripada dosa). Maka ibu bapalah yang
akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan
hadis ini dapat disimpulkan bahawa betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul
setiap ibu bapa. Sebab itu, sebarang kesilapan dilakukan ibu bapa dalam proses
mendidik anak-anak atau mengabaikan tanggungjawab itu hanya membawa kemudaratan
besar bukan sahaja dalam hidup anak-anak. Malah, bahananya dirasai dan diderita
ibu bapa mereka juga.
Walaupun
tanggungjawab mendidik paling utama terletak di bahu ibu bapa, masyarakat
sekeliling juga bertanggungjawab mendidik generasi muda Islam. Oleh itu,
janganlah sesekali bersikap tidak ambil peduli mengenai hal orang lain.
Masyarakat
Islam sebenarnya adalah masyarakat bersatu padu, saling bantu membantu dan
tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Bukankah tugas mendidik
itu juga termasuk dalam perkara kebajikan dan ketakwaan?
Lantaran
itu, generasi muda perlu didekati dan dididik melalui pendekatan terbaik
sebagaimana maksud firman Allah taala: “Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan
hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik. (Surah al-Nahl, ayat 125).
Justeru,
generasi muda yang hanyut dibawa arus kemungkaran perlu diselamatkan, ditegur
dan dipimpin ke jalan lurus sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud:
“Barangsiapa
melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya
(kuasanya), dan sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan sekiranya
dia tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis
riwayat Muslim)
Kesimpulannya,
tanggungjawab mendidik adalah tugas mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah
taala. Justeru, anggota masyarakat serta ibu bapa hendaklah memikul
tanggungjawab mendidik generasi pewaris mereka.
Sikap
saling mengajar perkara bermanfaat dan tegur menegur kesilapan sewajarnya
terhias dalam setiap sendi anggota masyarakat. Dengan ini, barulah masyarakat
Islam terhindar daripada kemelut dan krisis moral yang meruncing.
^ menu
utama