^ menu utama

 


 

Sikap pemandu jadi punca

Oleh Zulkiflee Bakar

 

(WARTAWAN UTUSAN)

Umat Islam di Fallujah, Iraq terpaksa menyambut Aidilfitri dengan air mata dan darah berikutan kebiadaban tentera penceroboh, di selatan Thailand kehadiran 1 Syawal disambut dengan suasana pilu berikutan kematian 87 umat Islam pada 25 Oktober lalu manakala di Palestin kaum Muslimin harus menyambut kedatangan hari mulia itu dengan tangisan berikutan kembalinya ke rahmatullah pemimpin kesayangan mereka, Yasser Arafat.

 

Walaupun kita di Malaysia perlu bersyukur kerana kedatangan 1 Syawal disambut dengan penuh kedamaian dan kemeriahan tanpa perlu memikirkan apa-apa ancaman atau kesedihan namun jalan raya atau lebuh raya di negara ini terus menjadi lapangan maut setiap kali musim perayaan.

 

Keadaan itu berlaku bukanlah disebabkan oleh struktur jalan raya atau lebuh raya tetapi kalau dikaji majoritinya akibat sikap pemandu kita sendiri yang sering kali sahaja degil untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang sedia ada.

 

Sikap tidak sabar dan tidak mempunyai perasaan untuk menghormati pengguna jalan raya lain telah memungkinkan tragedi demi tragedi terus menghiasi sambutan Aidilfitri kali ini.

 

Kerajaan hakikatnya sudah melakukan segala-galanya untuk menghalang tragedi itu daripada berlaku tetapi sikap sesetengah pemandu telah memungkinkan ia terus terjadi.

 

Wujudkanlah 1,001 undang-undang atau kerahkanlah 100,000 anggota polis trafik sekalipun ia tidak akan mampu menghalang kemalangan terus berlaku, semuanya kerana sikap pemandu kereta yang sering sahaja ingin menjadi jaguh `di gelanggang yang salah'.

 

Sepanjang perjalanan penulis dari Kota Bharu, Kelantan ke Masjid Tanah, Melaka melalui jalan negeri serta jalan persekutuan dan kemudiannya menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dari Alor Gajah, Melaka ke Gurun, Kedah, penulis melihat bagaimana gelagat sesetengah pemandu-pemandu kita yang bukan sahaja tidak prihatin kepada pemandu lain malah acap kali bersikap biadab sehingga memungkinkan kemalangan berlaku.

 

Sebagai contoh, di jalan negeri yang dilalui oleh penulis terdapat pemandu yang sewenang-wenangnya memotong di garisan berkembar malah di pekan Tangkak pula ada pemandu yang tidak memikirkan keselesaan orang lain sebaliknya meletakkan kenderaan sesuka hati mereka yang sekali gus boleh menyumbang kepada kemalangan.

 

Begitu juga di Lebuh Raya Utara-Selatan, sebagai contoh berdekatan Seremban pada sebelah petang Hari Raya pertama, berlaku sedikit kesesakan akibatnya beratus-ratus pemandu yang tidak sabar dan tanpa memikirkan kesannya memotong melalui lorong kecemasan.

 

Ketika melalui lebuh raya yang sama di daerah Tapah, hujan lebat yang berlaku telah menyebabkan jarak penglihatan sekitar 40 meter sahaja, bagaimanapun ada pemandu yang cuba menjadi jaguh dengan memecut melebihi 100 kilometer sejam dan lebih mengecewakan turut melakukan perbuatan yang dianggap berbahaya ini ialah bas-bas ekspres.

 

Walaupun setiap tahun, ada kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspres namun ia tidak pernah menginsafkan pemandu kenderaan tersebut, malah mereka ini memandu seolah-olah ingin sampai ke destinasi mereka yang jarak beratus-ratus kilometer dalam masa sejam.

 

Akibat perbuatan tidak sabar inilah, penulis menyaksikan tidak kurang lima kemalangan yang agak serius sepanjang tujuh jam di lebuh raya berkenaan dan semuanya akibat kesalahan sesetengah pemandu yang seolah-olah tidak pernah takut kepada erti tragedi.

 

Mungkin apa yang dipaparkan di sini hanyalah contoh kecil, terdapat banyak lagi kemalangan dan kejadian lain yang berpunca daripada sikap biadab sesetengah pemandu kenderaan yang seolah-olah tidak pernah menggunakan jalan raya atau lebuh raya yang sempurna.

 

Adalah sesuatu yang malang, ketika pihak polis trafik terpaksa mengorbankan cuti mereka untuk berhari raya bersama keluarga demi untuk menjaga keselamatan orang ramai di jalan raya, masih ada pemandu yang tidak tahu mengerti pengorbanan ini.

 

Bagi mereka, itulah tugas polis trafik sedangkan hakikatnya kehadiran anggota tersebut adalah untuk memastikan pemandu-pemandu kenderaan selamat sampai ke destinasi dan berhari raya bersama keluarga tersayang.

 

Mereka tidak pernah melihat bagaimana peritnya anggota-anggota polis trafik terpaksa `berkurung' dalam pondok sempit di tepi-tepi lebuh raya untuk memerhati gelagat pemandu tanpa mempedulikan cuaca panas atau hujan lebat.

 

Malah ketika insan lain sibuk membuat persiapan Aidilfitri, di malam yang mulia itu ada di antara mereka terpaksa bertugas sehingga larut malam bagi memastikan tiada lagi pemandu yang mati sia-sia di lebuh raya.

 

Tetapi bagi sesetengah pemandu mereka tidak memikirkan semua itu, malah rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya pengguna jalan raya berhati-hati juga hanya diibaratkan seperti lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee setiap kali Aidilfitri menjelma.

 

Mereka tidak mahu mengerti apatah lagi berusaha untuk memahami bahawa apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan polis trafik adalah semata-mata bagi mengelakkan mereka mati sia-sia atau bak kata orang mati katak di jalan raya atau lebuh raya.

 

Lebih mengecewakan, jika sikap pemandu yang tidak bertamadun ini menyusahkan pengguna-pengguna lain yang tidak bersalah, bayangkanlah dalam sesetengah kemalangan pemandu biadab terselamat sedangkan pemandu yang berhati-hati terpaksa menyambut kehadiran 1 Syawal dalam tangisan.

 

Sememangnya kita tidak berhasrat untuk mencadangkan kepada kerajaan untuk menambah peruntukan undang-undang yang sedia ada, segalanya sudah mencukupi dan yang terbaru datang daripada Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan supaya lesen pemandu yang terlibat dalam kemalangan digantung 14 hari.

 

Melalui tindakan seumpama itu, kita mungkin boleh berharap ia akan menginsafkan pemandu berkenaan betapa peritnya tidak mempunyai lesen kenderaan dalam tempoh 14 hari tetapi untuk mengharapkan mereka berubah sama sekali dengan menjadi pemandu yang sopan agak sulit.

 

Bagaimanapun itulah usaha kerajaan yang prihatin kepada keselamatan rakyatnya tetapi apa yang diharapkan ia tidak akan menganiaya pemandu yang tidak bersalah.

 

Apa pun jika pelaksanaan itu berlaku, maka bertambahlah satu lagi hukuman atau undang-undang apabila menjelang musim perayaan, persoalannya sampai bilakah kita harus mengambil langkah sedemikian kerana kesudahannya untuk undang-undang jalan raya sahaja akan terdapat seribu satu hukuman tetapi kadar kemalangan tidak pernah berkurangan malah bertambah.

 

Oleh itu apakah lagi yang hendak kita lakukan? Sukar untuk diperkatakan. Apa yang pasti kadar kemalangan dan jalan raya di negara ini akan terus bersimbah dengan darah selagi sikap pemandu tidak berubah.

 

Apa yang anehnya ada sesetengah kelompok ini begitu bersopan ketika di luar kenderaan tetapi apabila memegang sahaja stereng perwatakan mereka berubah, ini sama seperti mana digambarkan dalam satu adegan kartun Donald Duck yang memaparkan bagaimana seorang doktor yang begitu bersopan dan bertimbang rasa berubah wajah menjadi seperti serigala yang ganas sebaik sahaja memandu kenderaan. Apakah itu wajah sebenar sesetengah pemandu-pemandu kita?

 

 

 


^ menu utama