^ menu utama

 


 

Tiga faktor undang nahas jalan raya

 

Oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my

 

JALAN RAYA semakin sibuk. Walaupun dipertingkatkan, dari selorong kepada dua atau tiga lorong, dari jalan yang kecil kepada lebuh raya, ia tetap sibuk dengan kenderaan.

 

Dua tiga tahun dulu, di sesetengah laluan, termasuk di kawasan pusat bandar, hanya sibuk pada waktu puncak, pagi ketika orang mahu ke tempat kerja dan petang, ketika mahu pulang.

 

Tetapi sejak akhir-akhir ini, keadaan sudah berubah. Selagi matahari siang masih kelihatan, ada saja kenderaan. Di mana-mana ada kesesakan dan dalam waktu yang sama masing-masing mahu cepat dan keretanya mahu ke depan.

 

Fenomena ini sudah cukup, menunjukkan penduduk makin ramai dan kenderaan makin bertambah, malah perangkaan menunjukkan di Malaysia setakat ini ada 12.8 juta kenderaan berdaftar, termasuk 5.4 juta kereta dan 6.1 motosikal.

 

Pada masa yang sama, sedar atau tidak, rupa-rupanya kemalangan juga makin meningkat. Berdasarkan statistik kemalangan yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya bagi 2004, sebanyak 6,223 kematian dicatat.

 

Daripada jumlah itu, 56 peratus iaitu 3,487 kematian adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

 

Pendek kata, saban hari ada saja kemalangan jalan raya. Di dada akhbar, selalu terpampang berita kereta terbabas, mati kena langgar, terhimpit, terhumban dan tercedera.

 

Baru 11 hari berlalu bulan ini, tetapi pelbagai insiden di jalan raya berlaku. Ramai yang sudah kecundang dan keluarga masing-masing, hanya mampu meratapi kesedihan.

 

Di Batu 5, Cheras, beberapa hari lalu, dua maut akibat kemalangan membabitkan sebuah lori dengan Perodua Kancil, sehingga pemandu kereta itu dikatakan terputus kepala dan bergolek kira-kira 50 meter.

 

Pada 4 Julai lalu, sebuah lori bertembung dengan van di Lebuhraya Baru Kulim -Baling, mengakibatkan dua pengawal keselamatan yang menaiki van terbabit maut, manakala dua lagi cedera.

 

Pada 3 Julai lalu, seorang wanita tua bermotosikal maut dalam keadaan mengerikan selepas digilis tayar lori pembancuh simen seberat lebih lima tan ketika melalui Jalan Ampang.

 

Itu adalah kejadian tragis yang dilaporkan. Bagaimana pula dengan kejadian lain, di jalan kecil, kawasan kampung, taman perumahan dan tempat terpencil. Tidak mustahil ada, tetapi tidak diketengahkan.

 

Kemalangan demi kemalangan, seolah-olah membayangkan jalan raya tempat yang tidak selamat, malah mengundang risiko. Tetapi mahu tidak mahu, jalan raya tetap menjadi kemudahan terpenting bagi kesejahteraan hidup.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, dipetik berkata rekod menunjukkan 82,304 mangsa kemalangan jalan raya dimasukkan ke hospital dengan 1,757 daripadanya maut dan kira-kira lima peratus kanak-kanak bawah 12 tahun.

 

Katanya, sepanjang 2003 Malaysia mencatatkan 6,286 mangsa kemalangan jalan raya maut dan meletakkan kadar kematian Malaysia sebanyak 25 orang bagi setiap 100,000 penduduk negara.

 

“Eropah mempunyai kadar kematian 14.5 berbanding 100,000 penduduk, Australia (8.6), Jepun (7.1) dan Singapura (5.5). Ini menunjukkan Malaysia mempunyai kadar kematian yang tinggi,” katanya.

 

Apa punca kemalangan dan kematian di jalan raya, sehingga begitu tinggi? Berdasarkan maklumat daripada Audit Keselamatan Jalan, faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini ialah kecuaian pemandu atau masalah teknikal kenderaan.

 

Sementara faktor kombinasi pemandu dan jalan raya hanya menyumbang 28 peratus daripada keseluruhan punca kemalangan.

 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata tiga faktor dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan kemalangan jalan raya, kenderaan, pemandu dan jalan raya.

 

Jelas di sini, pemandu, kenderaan dan jalan menjadi faktor kemalangan. Tiada satu daripada tiga perkara itu, kemalangan tidak berlaku. Tetapi apabila diamati, jika tiada pemandu, kemalangan pasti tidak akan berlaku.

 

Oleh itu, faktor paling utama ialah pemandu. Timbul pula persoalan, pemandu macam mana? Adakah mereka yang selalu berhati-hati dan bertanggungjawab menyebabkan kemalangan? Itu tidak mungkin.

 

Siapa lagi penyebab kemalangan? Pasti pemandu tidak bertanggungjawab dengan sikap suka mencelah, menghimpit, melanggar lampu isyarat, memecut sesuka hati di laluan tidak sepatutnya dan berlumba di jalan raya.

 

Ada juga punca kemalangan kerana sikap pemandu yang gemar memotong di laluan kecemasan, menukar lorong sewenang-wenangnya dan tidak memberikan tumpuan ketika memandu.

 

Bagi pemandu tidak bertanggungjawab, ia langsung tidak melakukan persediaan sebelum berada di jalan raya, tidak memeriksa kenderaan serta tidak mempedulikan keadaan jalan raya dan cuaca.

 

Sepatutnya tabiat negatif seperti itu perlu dihindarkan. Jalan raya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai satu kemudahan, bukan tempat yang menyimpan kenangan pahit sepanjang hayat.

 

Ramai yang sudah menjadi korban dan kini tiba masanya, kita sama-sama mengubah minda, daripada banyak melakukan kesilapan di jalan raya kepada kurang kesilapan, malah tiada langsung.

 

Ketika memandu, cuba amalkan selalu mencongak pada diri sendiri, kemungkinan yang bakal berlaku jika memecut, membelok atau memperlahankan kenderaan. Jika kemunginan itu tidak diingini carilah jawapan untuk mengelakkannya.

 

Pemandu bertanggungjawab sentiasa memastikan pemanduannya tidak berisiko, misalnya dalam perjalanan jauh, tidak alpa berhenti di kawasan rehat bagi menghilangkan penat.

 

Ada juga yang mengamalkan petua minum kopi terlebih dulu, mengaktifkan sistem audio, menyanyi atau bercakap-cakap dengan penumpang dan sesekali membuka cermin tingkap bagi menghindarkan kelesuan dan mengantuk.

 

Jika di London, mengikut kajian terkini, aroma kopi menjadikan anda pemandu berhemah, bau kayu manis mengurangkan risiko insiden buli di jalan raya, tetapi bau makanan segera menjadi pemanduan sebaliknya.

 

Pelbagai faktor perlu diambil kira apabila berada di jalan raya, seperti kenderaan dipastikan berfungsi dengan baik, emosi terkawal, kesihatan diri serta keadaan jalan dan cuaca.

 

Malah, pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua, sehinggakan mereka yang berumah di tepi jalan raya perlu diambil kira, kerana mereka juga mahu selamat.

 

Jangan sesekali menganggap kerana kita berkenderaan lebih besar, tinggi dan panjang, seperti lori, bas dan pacuan empat roda, kita tidak akan mengalami apa-apa apabila bertembung dengan kenderaan lain.

 

Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, bertimbang rasalah ketika memandu. Jangan pula, apabila sudah menjadi mangsa, mulalah mempersalahkan pihak lain.

 

 


^ menu utama