^ menu utama

 


 

Belia malas berfikir

NAZERI NONG SAMAH

 

SHAH ALAM 14 Mei - Majoriti belia di negara ini kini didapati malas berfikir menyebabkan mereka gagal untuk menjadi individu intelek yang berdaya maju dalam mengharungi cabaran kehidupan moden era globalisasi.

 

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, untuk meletakkan diri seseorang itu sebagai intelek tidak perlu menunggu mendapat ijazah dari universiti.

 

``Sebaliknya dengan rajin berfikir terhadap sesuatu yang berguna sekurang-kurangnya setengah jam sehari juga akan membolehkan seseorang itu menjadi intelek,'' katanya merangkap Menteri Besar Selangor ketika berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Belia Kebangsaan 2005 di sini hari ini.

 

Konvensyen dua hari sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan 2005 itu bertemakan `Kemahiran Teras Kecemerlangan.'

 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Raja Ruslan Raja Samah, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Konvensyen, Sobri Ahmad serta Exco Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.

 

Mohamad Khir berkata, tanpa ijazah masyarakat zaman dahulu berjaya menjadi intelek kerana hasil daripada renungan dan pemikiran mereka terhadap kejadian alam berjaya melahirkan beberapa perumpamaan bernas yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

 

Sehubungan itu Mohamad Khir menggesa kaum belia agar tidak memandang remeh aspek kepentingan berfikir untuk mencari sesuatu idea bernas sebagai panduan hidup sendiri mahupun disebarkan bagi kegunaan umum.

 

Tegas beliau, kerana malas berfikir juga menyebabkan majoriti belia sekarang menjadi lesu, mudah terpengaruh dengan gejala negatif, tiada arah tuju, tiada jati diri dan pegangan hidup sedang mereka adalah pewaris kepimpinan masa depan bangsa.

 

Mohamad Khir juga meminta agar golongan belia memiliki empat kemahiran penting untuk menjadi individu yang berjaya dalam kehidupan sekali gus berguna kepada bangsa dan negara.

 

``Golongan belia perlu mempunyai kemahiran teknikal, kemahiran intelektual, kemahiran antara perseorangan dan kemahiran sosiobudaya,'' ujarnya.

 

Menurutnya, kemahiran teknikal adalah asas yang diperlukan oleh seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan manakala kemahiran intelektual menuntut kemampuan menggarap idea-idea baru dan menterjemahkan ke dalam bentuk praktikal yang dapat memberi manfaat kepada umum.

 

``Kemahiran antara perseorangan pula ialah kemahiran perhubungan dengan orang lain agar personaliti kita digemari dan kemahiran sosiobudaya ialah bagi memahami persekitaran kehidupan dan menyesuaikan diri dengan situasi sekeliling,'' katanya.

 

 


^ menu utama