^ menu utama
Oleh
Saiful Nujaimi Abdul Rahman
TANPA
ragu, catatan Pengembaraan Ibn Battutah (Rihlah Ibn Battutah dalam bahasa Arab)
oleh Abu Abdillah Muhammad Ibn Battutah merupakan sebuah karya agung bertaraf
dunia yang relevan sepanjang zaman.
Bukan
calang-calang orang yang mampu mengingati setiap detik pengembaraan sejauh
lebih 75,000 batu itu. Apatah lagi pengembaraan itu disangsi oleh puluhan
sarjana Barat selain para orientalis. Dakwa mereka, `pengembaraan' itu mustahil
dilakukan lantaran mendahului Era Jentera Berkuasa Wap (The Age of Steam).
Namun,
apabila nama pengembara agung ini (juga dikenali dengan nama Shamsuddin)
tercatat dalam lipatan sejarah pelbagai bangsa dan kerajaan yang pernah
dikunjunginya, para sarjana dan orientalis Barat terpaksa menelan kembali
dakwaan mereka dengan penuh aib.
Tanpa
ragu juga, bukan calang-calang individu yang berani menterjemahkan karya ini ke
dalam bahasa ibunda mereka lantaran penterjemahannya menuntut pengorbanan masa,
tenaga dan wang ringgit. Acapkali pula ditempelak dan ditertawakan lantaran
tempoh penterjemahan memakan masa yang lama.
Hakikatnya,
Rihlah Ibn Battutah merupakan sebuah karya besar, ditulis oleh individu yang
bertokoh besar, diterjemah hanya oleh individu yang berfikiran besar, dan hanya
boleh dihargai dan disyukuri oleh individu yang berjiwa besar.
Sebab
itulah kita tidak perlu menaruh hairan atas keprihatinan bekas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutuskan ucapan tahniah kepada penterjemah Rihlah
Ibn Battutah, Syed Nurul Akla Syed Abdullah, sebagai penterjemah bersama
pegawai Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Adi Setia
Mohd. Dom.
Kata Dr.
Mahathir dalam surat ringkas penuh bermakna itu: ``Saya mengucapkan tahniah
kepada IKIM dan mereka yang telah menterjemah Pengembaraan Ibn Battutah. Saya
harap lebih banyak lagi buku seperti ini diterjemah dan dikeluarkan.''
Sekali
gus, membuktikan bahawa warga Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) ini
juga mampu memberi sumbangan bertaraf dunia kepada agama, bangsa dan negaranya.
Barangkali,
ada pihak yang tertanya-tanya apakah hebatnya terjemahan Rihlah Ibn Battutah
terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini? Bagaimana pula kesukaran
yang perlu ditempuhi setiap penterjemahnya? Jawapannya tidak sukar jika kita
memulakan apa jua perbicaraan dengan minda yang terbuka.
Hakikatnya
begini. Rihlah Ibn Battutah merupakan sebuah karya sastera adventure yang sarat
dengan bahasa dan cerita yang indah. Ibnu Battutah mempunyai pengamatan yang
amat kompleks terhadap lokasi, figura, mahupun perilaku masyarakat yang
dikunjunginya.
Justeru,
setiap lokasi dan perhentian, setiap peristiwa dan kejadian, sehinggalah kepada
rupa paras dan penampilan dicatat cermat. Menterjemah karya sebegini sebetulnya
mendesak penterjemahnya memahami bukan sahaja latar sejarah, bahkan memiliki
pengetahuan mendalam berhubung pelbagai bahasa, khususnya bahasa Arab dan
Inggeris.
Selain
itu, penterjemahnya perlu membuat perbandingan secara forensik dengan
terjemahan-terjemahan yang telah sedia ada. Tambahan pula, Ibn Battutah berasal
daripada keluarga fukaha (jurists), beban menjaga kemurnian catatannya sudah
tentu lebih berat lagi.
Jika
disusuri latar sejarah, pengembaraan Ibnu Battutah bermula pada usianya
mencecah 22 tahun. Bukan sembarangan pemuda yang mempunyai kekuatan pada usia
sebegini, bukan? Sejarah telah merakamkan bahawa beliau keluar bersendirian
dari kampungnya di Tanjah, Maghribi untuk mengunjungi tanah suci Mekah.
Pengembaraan
yang bermula pada 2 Rejab 725 Hijrah bersamaan 14 Jun 1325 Masihi itu akhirnya
membawa beliau meneroka jauh ke Mesir, Arab Saudi, Syam (Syria), Damsyik,
Baghdad, Turki, Delhi, Rusia/Siberia, Sumatera, China, dan Mali di Afrika
selama 29 tahun.
Pengembara
agung kebanggaan dunia Islam ini kemudiannya telah dibantu oleh penulis diraja,
Ibn Juzayy al-Kalbi (1321-1356) dari Andalus, yang dilantik oleh baginda Sultan
Maghribi, Sultan Abu `Inan (1348-1358) untuk membentuk Rihlah Ibn Battutah.
Menjelang
Disember 1355, setelah memakan masa hampir dua tahun, maka lahirlah sebuah
karya ilmu yang amat berharga sehingga ke hari ini. Dalam tempoh 400 tahun
selepas Ibn Battutah meninggal dunia, manuskrip Rihlah Ibn Battutah telah tersebar
di kalangan sarjana Islam di Afrika Utara, Afrika Barat, Mesir, dan beberapa
negara yang menggunakan bahasa Arab.
Ironisnya,
naskhah ini hanya diketahui oleh Barat seawal abad ke-19 apabila dua warga
Jerman menerbitkan sebahagian terjemahan manuskrip catatan itu yang mereka
peroleh dari Asia Barat secara berasingan. Bermula dari detik itu, karya ini
telah diterjemah dan diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk Sepanyol,
Itali, Rusia, Poland, Parsi dan Jepun.
Usaha
terhebat untuk menterjemahkan catatan pengembaraan ini telah dilakukan oleh The
Hakluyt Society. Persatuan itu telah mengambil masa 78 tahun (dari 1922 hingga
2000) bagi menyelesaikan penterjemahannya di samping penyusunan indeks dalam
bahasa Inggeris.
Bagaimanapun,
Profesor Har Gibb yang mengetuai kerja-kerja penterjemahan itu hanya sempat
terlibat dalam empat siri penterjemahan sahaja - siri pertama (jilid satu) pada
1958, siri kedua (jilid dua) pada 1962, dan siri ketiga (jilid tiga) pada 1971.
Pada
tahun 1971, beliau telah meninggal dunia dan penterjemahan tersebut telah
disambung oleh Profesor Beckhingham dan diterbitkan sebagai siri keempat (jilid
empat) pada 1994. Penterjemahan seterusnya (siri kelima indeks) telah dilakukan
oleh Profesor Bivar dan berjaya diterbitkan pada tahun 2000.
Dalam
erti kata lainnya, dunia Barat dan sarjana mereka amat mengiktiraf catatan Ibn
Battutah sebagai catatan yang agung.
Bahkan,
kehebatan Ibnu Battutah (yang kini berusia 649 tahun) turut diakui wartawan
tersohor National Geographic, Thomas J. Abercrombie. Tanpa ragu-ragu,
Abercrombie telah menobatkan Ibn Battutah sebagai Prince of Travellers dalam
National Geographic, edisi Disember 1991.
Oleh itu,
jika direnung dan dicongak seluruh lokasi dan catatan peristiwa yang pernah
dikunjungi Ibnu Battutah, seorang yang waras tidak akan berasa hairan dengan
tempoh penterjemahan yang memakan masa 10 tahun. Jauh sekali mentertawa dan
memperlekehkannya.
Penterjemahan
Rihlah Ibn Battutah ke bahasa Melayu (bermula dari 1993 dan berjaya
disempurnakan pada 2003) telah dilakukan secara cermat demi memastikan
ketepatan fakta, struktur ayat, penggunaan perkataan dan gaya bahasa, selain
dilengkapi nota bab, peta perjalanan, glosari, dan indeks menepati piawaian
global.
Sesungguhnya,
bukan mudah mengembalikan manikam ke dalam cembulnya. Justeru, satu dekad
merupakan satu tempoh yang wajar bagi menghasilkan produk yang benar-benar
menepati piawaian penterjemahan bertaraf dunia. Satu tempoh yang adil bagi
menterjemah sebuah karya agung.
Setelah
melalui beberapa kali proses penyuntingan Rihlah Ibn Battutah yang siap
diterjemahkan itu telah diberi judul Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara
agung, karya terulung, menyingkap wajah dunia ini telah dilancarkan di IKIM
dalam acara yang gilang-gemilang tanggal 19 Februari lalu.
Lebih
membanggakan lagi ialah apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
telah berkenan untuk melancarkan terjemahan tersebut.
Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara agung, karya terulung, menyingkap wajah dunia telah mendapat khidmat suntingan tenaga IKIM, Wan Roslili Abd. Majid dan Dr. Ismail Ibrahim. Kini, karya agung itu memasuki proses pencetakan kedua setelah cetakan pertama sebanyak 1,000 naskhah habis terjual.
^ menu
utama