^ menu utama
Panas
cetus perilaku agresif
Oleh
Shafinaz Sheikh Maznan
PANAS,
panas, panas! Cuaca panas, hati pun panas. Benarkah peningkatan suhu juga boleh
meninggalkan kesan psikologi, mempengaruhi tingkah laku manusia dengan
menjadikan mereka bertambah agresif?
Jika
di negara-negara Barat, kajian mengenainya bukan sedikit dilakukan dalam tempoh
lebih sedekad lalu.
Malah,
istilah gangguan akibat perubahan musim atau seasonal affective disorder (SAD)
sudah agak sinonim dengan negara-negara Barat yang mengalami empat musim.
Dianggarkan
setengah juta rakyat England mengalami kemurungan tahunan setiap kali musim
salju yang berlaku antara September dan April.
Keadaan
ini berpunca daripada ketidakseimbangan biokimia di dalam bahagian otak yang
dipanggil hipotalamus.
Sementara
itu, isu pemanasan global dan Kyoto, ozon yang semakin menipis, paras laut yang
kian meningkat, gurun yang semakin terbentang luas dan rumah hijau - turut
menyumbang kepada kajian demi kajian bagi memahami hubungan langsung di antara
kehangatan suhu dengan perilaku manusia.
Pernahkah
anda berkurung atau tidur di dalam sebuah bilik yang agak panas khususnya pada
musim kemarau ini? Kipas atau alat penghawa dingin sekalipun kurang membantu.
Apakah
perasaan anda ketika itu? Jangan hendak sengelat. Sekurang-kurangnya anda akan
berasa kurang selesa dan serba tidak kena, bukan?
Berdasarkan
kajian makmal yang dilakukan oleh sekumpulan pakar psikologi sosial, hanya
dengan berada di dalam sebuah bilik dengan suhu yang lebih hangat boleh menukar
seseorang itu menjadi lebih pemarah.
Hasilnya
adalah berbeza jika mereka ditempatkan di dalam ruang yang lebih menyelesakan.
Bukan itu sahaja, pemikiran-pemikiran agresif juga boleh tercetus.
Ini
terbukti menerusi kajian makmal berasingan di mana pasangan yang diajukan
dengan sedikit provokasi cenderung untuk mencederakan di antara satu sama lain.
Demikian
juga halnya dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran panas yang akan
menyumbang kepada tindak balas lebih bersifat permusuhan terhadap apa-apa jua
yang boleh menimbulkan kemarahan dan menyakitkan hatinya.
Penyelidikan
saintifik berkenaan isu ini di luar negara juga sudah mencapai tahap di mana
tumpuan diberikan terhadap keganasan dan kegiatan jenayah.
Malah,
kadar jenayahnya adalah berbeza-beza mengikut tempat di mana kawasan lebih
panas mencatatkan aktiviti itu yang lebih tinggi.
Bukan
itu sahaja, hari, bulan, musim mahupun tahun-tahun tertentu juga didapati boleh
menghasilkan kadar jenayah yang lebih daripada biasa. (Journal of Personality,
Vol. 73, No. 6, 1213 - 1223, isu Disember 1997).
Pakar
Runding Psikiatri dan Psikoterapi, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat
Perubatan Universiti Malaya, Dr. Stephen T. Jambunathan mengakui kaitan yang
sudah lama wujud di antara faktor persekitaran dengan tingkah laku manusia.
Bagaimanapun,
dalam konteks iklim semasa, beliau menjelaskan:
``Memang
ada hubung kait di antara cuaca panas dengan tingkah laku manusia selain
ancaman kesihatan yang boleh membawa maut disebabkan oleh cuaca panas terik.
``Walaupun
bukan secara langsung, namun, mana-mana perubahan persekitaran yang radikal
seperti daripada sejuk ke panas atau sebaliknya, mungkin menyebabkan seseorang
itu menghadapi masalah pengubahsuaian,'' katanya.
Menurutnya,
masalah-masalah yang mungkin dihadapi adalah seperti kurangnya rasa toleransi,
tolak ansur atau timbang rasa, lekas marah dan mengalami tekanan.
Keadaan-keadaan
tersebut seterusnya mendorong seseorang membuat keputusan-keputusan yang kurang
waras dan bertentangan daripada kelazimannya.
``Masalah
pengubahsuaian ini boleh terjadi khususnya kepada seseorang yang tiada
kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.
``Mereka
tidak berapa kebal, tidak mempunyai jiwa atau semangat yang kental, mudah goyah
ataupun mudah sensitif lebih daripada orang lain,'' kata Dr. Stephen.
Ditanya
apakah yang membezakan tahap penerimaan seseorang terhadap sesuatu perubahan
itu, katanya, semua hal minda dipengaruhi oleh tiga faktor penting atau
ringkasnya biopsikososial:
l
Biologikal; genetik seperti bapa yang panas baran
l
Psikologikal; cara berfikir seseorang yang mempengaruhi bagaimana tindak balas
mereka terhadap orang lain
l
Sosiologikal; persekitaran seperti perubahan alam sekitar, dibuang kerja,
berhadapan dengan penyakit.
Seseorang
individu yang sememangnya dipengaruhi oleh faktor-faktor di atas akan cuba
`memelihara' diri sendiri secara salah seperti naik angin dan bukannya dengan
mencari suasana lebih sejuk untuk menenangkan diri sendiri.
Jika
keperluan itu gagal diperoleh, akan menambahkan lagi kekecewaan mereka dan
memburukkan keadaan bagi yang sedia mempunyai penghakiman negatif, kata beliau.
Mengulas
kegiatan jenayah yang dikatakan agak menjadi-jadi serta kaitannya dengan suhu
panas yang luar biasa kebelakangan ini, Dr. Stephen mengakui:
``Suhu
yang panas juga boleh menyebabkan pemikiran-pemikiran yang agresif sehingga
mereka berani melanggar undang-undang.
``Untuk
pengetahuan, kebanyakan jenayah yang dilakukan bukan berpunca daripada masalah
minda (mental yang tidak sihat) tetapi lebih kepada personaliti atau
persekitarannya,'' ujar beliau.
Mengenai
sama ada ia turut membabitkan perubahan hormon, memetik seorang pakar psikologi
dari University of Glamorgan, Dr. Lance Workman yang berjaya mewujudkan kaitan
di antara suhu panas dengan tahap serotonin.
Bahan
kimia neurotransmiter yang dirembeskan di dalam otak itu memberikan kesan
sampingan terhadap tindak-tanduk agresif.
Sekadar
memetik beberapa hipotesis kepanasan di luar negara.
Pakar
psikologi, Iowa State University, Dr. Craig Anderson mendedahkan, seseorang
menjadi marah di antara satu sama lain, bergaduh dan ada kalanya sampai ke
tahap membunuh disebabkan oleh suhu yang panas.
Pendek
kata, psikologi seseorang itu lebih mudah bangkit dan terusik disebabkan oleh
kepanasan.
``Satu-satu
pertelingkahan itu lazimnya tidak bermula dengan insiden besar tetapi beberapa
siri provokasi kecil.
``Dan
peningkatan kebangkitan perasaan negatif itu tidak akan terhenti di situ sahaja
tetapi biasanya akan mencapai satu tahap yang lebih tinggi,'' katanya.
Malah,
jelas penyelidik dari Amerika Syarikat itu lagi, peningkatan sekadar dua darjah
fahrenheit sahaja boleh menyebabkan penambahan sehingga 24,000 kes bunuh dan
yang bersifat serangan di negara itu sahaja.
Secara
umumnya, kajian Rotton mendapati, insiden jenayah berat terhadap sesama manusia
seperti menyerang, merompak, bunuh dan rogol meningkat selaras pertambahan
suhu.
Keganasan
rumah tangga suami terhadap isteri juga termasuk di dalam kategori ini di mana
ia lebih banyak berlaku semasa musim panas.
Sebaliknya,
insiden jenayah terhadap harta benda seperti kecurian kenderaan serta pecah
rumah didapati tidak berkenaan dengan perubahan suhu.
Sementara
itu, satu penyelidikan lain yang disiarkan di dalam International Journal of
Law and Psychyatry, Boyanowsky berkata, suhu yang lebih sejuk meningkatkan
rangsangan seksual kaum lelaki.
``Satu
fakta yang sememangnya diketahui umum bahawa kehangatan berupaya memusnahkan
hormon seks utama lelaki iaitu testosteron.
``Jadi,
mandi mungkin cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini,'' kata pakar
kriminologi dari The Simon Fraser University itu.
Berbalik
kepada Dr. Stephen, beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini secara peribadi,
langkah pertama adalah untuk menyedari akan risiko yang mungkin dihadapi dengan
perubahan-perubahan cuaca yang tidak menyelesakan ini.
Contohnya,
kecenderungan untuk tidak mencapai kata sepakat dan konfrontasi.
``Sekiranya
kita berada di dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama, cuaca tidak
membantu, kita sepatutnya menangguh keputusan-keputusan besar.
``Seboleh-bolehnya,
elakkan daripada melibatkan diri dalam situasi-situasi yang boleh menambahkan
ketegangan ini sehingga kita kembali tenang,'' katanya.
Yang
penting sekali, ujar Dr. Stephen, adalah supaya kita memahami bahawa orang lain
juga mungkin menghadapi masalah mereka sendiri.
Oleh
sebab itu, mereka menunjukkan tindak balas yang tidak sepatutnya.
``Jika
kita pula memberikan maklum balas yang serupa, maka akan timbullah masalah yang
lebih buruk.
``Cuba latih tubi minda kita bahawa orang lain juga
ada masalah seperti mana kita (ada masalah), ini akan menjadikan kita seorang
yang lebih memahami sekali gus mengurangkan potensinya,'' katanya.
^ menu
utama