Diskusi KASES Bil 1/ 2023 : Membina bandar berdayahuni di Malaysia: Dari Konsep ke Pelaksanaan

10 MEI 2023

BILIK KULIAH UTAMA LESTARI

 

Diskusi KASES merupakan satu platform untuk menyebarkan idea, pemikiran, hasil penyelidikan dan juga pengalaman oleh para akademik, penyelidik dan juga masyarakat awam mengenai sesuatu isu dalam konteks kelestarian dan pembangunan lestari.  Diskusi KASES diletakkan di bawah Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES).  Tahun 2023, Pusat KASES telah membuka tirai dengan menganjurkan Diskusi KASES Bil 1/ 2023 pada 10 Mei 2023.  Penceramah ialah Profesor Dr. Ahmad Fariz Hj. Mohamed, Felo Utama LESTARI.  Tajuk ceramah beliau ialah Membina bandar berdayahuni di Malaysia: Dari konsep ke Pelaksanaan.  Ceramah yang berlangsung di Bilik Kuliah Utama LESTARI bermula pada jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari.  Kira-kira 40 orang peserta telah menghadiri ceramah ini yang terdiri daripada warga LESTARI dan UKM, wakil dari agensi kerajaan seperti Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan pelajar universiti.   Antara perkara penting yang dikongsikan oleh Profesor Dr. Ahmad Fariz ialah sejarah pembentukan bandar-bandar utama di Malaysia bermula dari zaman Kesultanan Melaka, era penjajahan Inggeris, era selepas kemerdekaan Tanah Melayu dan era perbandaran moden. Konsep bandar berdaya huni dapat dibincangkan dalam tiga persepktif iaitu pertama daya huni bandar sebagai wawasan, dayahuni bandar sebagai ideologi dan daya huni bandar sebagai ukuran penarafan.  Profesor Dr. Ahmad Fariz turut membincangkan penafaran bandar di peringkat global yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit (EIU).  Di bawah penakrafan ini sebanyak 10 buah bandar telah dinobatkan sebagai bandar berdaya huni berdasarkan lima komponen penilaian yang dibentuk.  Dalam konteks Malaysia, konsep daya huni bandar telah diintegrasikan di dalam Dasar Perbandaran Negara Kedua, Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan (2016) dan Rancangan Malaysia Ke 12 (2021-2025).  Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) merupakan indeks yang digunakan untuk menaraf bandar-bandar berdaya huni di Malaysia.  Selain iDAM, MURNInets 2.0 yang mengukur Bandar Paling Bahagia Malaysia turut diguna pakai oleh Malaysia.

Laporan disediakan oleh

Dr. Rospidah Ghazali