Diskusi KASES 1/2024 : Status, ancaman semasa, dan masa hadapan burung hijrah di Malaysia
Diskusi KASES 2024 yang pertama telah dilangsungkan pada hari Rabu 5 Jun 2024 yang lalu, bermula jam 10 hingga 12 tengahari, dan bertempat di Bilik Kuliah Utama LESTARI UKM. Pembentang diskusi kali ini adalah Dr. Mohd Faid Abdul Rahman, Felo Penyelidik baharu di LESTARI, UKM. Manakala, Prof. Madya Dr. Saiful Arif Abdullah selaku pengerusi diskusi. Tajuk pembentangan beliau adalah ‘Status, ancaman semasa, dan masa hadapan burung hijrah di Malaysia’. Diskusi ini telah dihadiri oleh lebih kurang 20 orang perserta yang terdiri daripada beberapa pegawai, pelajar dan pensyarah dari universiti tempatan (UKM, UPM, UPSI) dan juga wakil dari pertubuhan bukan badan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Berikut adalah diantara inti-pati pembentangan yang telah berlangsung:
Burung merupakan antara bio-penunjuk yang popular dalam kajian para saintis. Burung hijrah khususnya, bermigrasi dalam jarak yang agak luas, meliputi sembilan laluan terbang utama di dunia. Ia bermula di kawasan tundra di bahagian paling utara dunia, hinggalah ke kawasan tropika serta berakhir di kawasan paling selatan. Malaysia, sebagai salah satu daripada 17 negara mega-biodiversiti di dunia mempunyai jumlah burung persisiran pantai yang tinggi. Oleh kerana lokasinya yang strategik, ia juga berfungsi sebagai penghubung penting bagi Laluan Terbang Australia Timur-Asia (EAAF) yang lebih besar. Laluan terbang ini merupakan salah satu laluan migrasi utama dunia, merangkumi 180 negara, serta lebih 50 juta burung yang bermigrasi didalamnya, dengan lebih 250 populasi berbeza. Namun begitu, reputasi dan pengiktirafan yang dimiliki Malaysia juga datang dengan beberapa cabaran. Di dalam diskusi ini, pembentang memaparkan status burung persisiran pantai yang berhijrah di Malaysia serta habitat-habitat berkaitan. Pelbagai ancaman yang dihadapi populasi berkenaan serta impaknya kepada penduduk tempatan turut di perhalusi. Lain-lain isu berkaitan seperti keperluan penyelidikan yang lebih sistematik dan terarah khusus bagi komuniti saintifik di Malaysia, dan juga kerjasama yang lebih erat di antara komuniti saintifik bersama-sama NGO khususnya, serta lain-lain agensi turut diketengahkan. Ini penting bagi menambah baik perancangan dan pengurusan sumber asli sedia ada, dan juga kerja-kerja pemuliharaan berkaitan di rantau ini.
Laporan disediakan oleh
Ku Adriani & Dr. Mohd Faid Abdul Rahman