Forest Therapy Yoshino, Japan

Kumpulan penyelidik dari LESTARI UKM telah menghadiri Program Forest Therapy Yoshino yang dijalankan di Mount Yoshino, Nara Prefecture, Kansai, Japan pada 6 November 2024. Program ini dianjurkan oleh Yoshino Visitors Bureau, Nara dengan kerjasama LESTARI UKM.

Tujuan utama penyelidik menghadiri program ini adalah untuk mendalami dan mempelajari bagaimana komuniti Jepun menyelami alam semulajadi di hutan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan mereka.

Forest Therapy juga dikenali sebagai “Shinrin-yoku” (森林浴) atau mandi hutan, dimana ia adalah satu amalan terapeutik yang melibatkan diri dalam persekitaran hutan untuk menggalakkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi. Bermula dari awal tahun 1980-an, terapi hutan bukan sekadar berjalan-jalan santai di dalam hutan tetapi lebih kepada penghayatan yang bertumpu kepada hubungan dengan alam semula jadi melalui kelima-lima deria iaitu bau, rasa, lihat, dengar dan sentuhan yang boleh digabungkan dengan meditasi, berjalan di hutan, pelbagai aktiviti rekreasi, dan terapi tingkah laku kognitif. Disepanjang pendakian, peserta diberikan beberapa tumbuhan untuk dihidu, air teh dan kuih mochi untuk dirasa, pokok cedar untuk dipegang dan dipeluk bagi deria sentuhan, deruan air terjun untuk deria pendengaran dan permandangan dalam hutan untuk deria penglihatan.

Yoshino menjadi pilihan masyarakat Jepun kerana Yoshino adalah tempat di mana banyak peristiwa penting telah berlaku sepanjang sejarah Jepun. Sejak dahulu kala, keindahan alam semula jadi Yoshino yang menakjubkan telah menambat hati penduduknya dan mengilhamkan tradisi budaya yang kaya berdasarkan penghargaan dan pemeliharaan alam semula jadi yang teliti. Dengan mengingati falsafah ini, Centre for Forest Therapy telah ditubuhkan (sebagai kemudahan yang pertama di Wilayah Nara) dan ianya diperakui secara rasmi oleh penduduk bandar Yoshino pada tahun 2012.

Program Forest Therapy dimulakan dengan penerangan mengenai latar belakang program oleh Inoue-san dan dikuti dengan senaman ringan yang diketuai oleh Nakamoto-san. Jarak kilometer pendakian Mount Yoshino adalah lebih kurang 6 – 7 km pada ketinggian 200 – 500 meter dari aras laut. Terdapat beberapa perhentian sepanjang pendakian termasuklah Nyoirin-ji Temple, Chigomatsu Jizo Statue, Miyataki Sign, Takataki Falls, Man’yo Manument dan Kisa-no-ogawa River.

Mount Yoshino (吉野山, Yoshinoyama) adalah gunung yang terkenal di Nara Prefecture, Jepun. Pada musim bunga, Mount Yoshino akan diliputi dengan bunga sakura yang indah dan menjadikan ia sebagai tapak semula jadi yang tenang dan mempersonakan. Pada tahun 2004, Gunung Yoshino telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah “Sacred Sites and Pilgrimage Routes in the Kii Mountain Range”.

Secara keseluruhannya, program ini memberi impak dan kesan yang positif kepada peserta dan semua ilmu, teknik dan pengalaman yang dikongsikan akan dimanfaatkan dan ditambahbaik kedalam program Santai Rimba di UKM.

Laporan disediakan oleh,
Puan Ku Adriani & Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed

Photo credit : Yoshino Tourism Bureau

#foresttherapy #forestbathing #lestariukm













Dari kiri (atas) : Sakai-san, Inoue-san, Nurdiyana Shaharuddin, Nurlina Ramzan, Sakina Mohamad Ismail, Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail, Nik Mohd Nor Faizul Md Saad, Norazmi Abdul Kadir, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed, Nathan-san dan Nakamoto-san.
Dari kiri (bawah) : Mohd Aisamddin Ismail, Nurul Hidayah Shamsul Ariffin, Mizuko Oka-san, Ku Adriani Ku Ayob.