Syarahan Umum “Climate Change and Impacts on Food Security” anjuran Program Pengajian Kejuruteraan Pertanian, Fakultas Pertanian, Universitas Syiah Kuala Acheh, Indonesia
Pada 6 Disember 2022, Dr Nor Diana Mohd Idris, Felo Penyelidik di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah dijemput sebagai penceramah jemputan di Program Syarahan Umum anjuran Program Pengajian Kejuruteraan Pertanian USK, Acheh Indonesia. Ketua Program Pengajian Kejuruteraan Pertanian USK, Dr. Ir. Indera Sakti Nasution, S.TP., M.Sc. dalam ucapannya menjelaskan bahawa fenomena perubahan iklim merupakan masalah yang memerlukan penyelesaian secara teknologi khususnya bagi mengatasi kesan terhadap sektor pertanian.
Beliau juga berharap agar syarahan umum ini dapat dijadikan sebagai platform perkongsian ilmiah dan kerjasama penyelidikan berkaitan pengendalian impak perubahan iklim khususnya yang memberi kesan kepada keselamatan makanan. Dalam pembentangannya, Dr Nor Diana turut menjelaskan secara purata kemerosotan pengeluaran pertanian akan berkurangan sebanyak 10 peratus akibat daripada fenomena perubahan iklim. Bencana alam seperti banjir, kemarau dan taufan antara bencana yang kerap berlaku telah memberi kesan kepada kualiti tanah pertanian yang semakin merosot, kualiti hidup manusia semakin menurun,peningkatan kes penyakit berjangkit, kebuluran, kehilangan perkerjaan dan krisis tenaga. Kesan ini memerlukan tindakan yang serius dari pelbagai pihak di pelbagai peringkat dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap faktor pencetus yang boleh mengancam kehidupan sejagat.
Beliau juga menegaskan bahawa keperluan pelaksanaan teknologi mesra alam dapat dipraktikkan secara berkesan supaya setiap kegiatan seharian manusia dapat mengurangkan pencemaran demi mencapai kelestarian penghidupan dan kesejahteraan alam sekitar masa kini dan masa akan datang. Syarahan umum yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Yasar, S.TP., M.Sc. selaku Moderator turut dihadiri oleh 100 orang peserta secara dalam talian online dan bersemuka.
Syarahan umum yang dijadualkan bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari waktu tempatan turut dihadiri oleh Setiausaha Program Pengajian, Dr. Muhammad Idkham, S.TP., M.Si, Ketua Makmal Kejuruteraan Tanah dan Air, Dr. Devianti, S.TP., MP, dan beberapa pensyarah Kejuruteraan Pertanian, Dr. Yusmanizar, ST., MP, Dr. T. Ferizal, S.TP., M.Sc, Dr. Ramayanty Bulan, ST., M.Si, dan Dr. Safrizal, ST., M.Si.
Laporan oleh
Dr. Nor Diana Mohd Idris dan Cik Ku Adriani Ku Ayob