MENJEJAK KECEMERLANGAN @ UKM 2.0

Pada 21 Oktober 2019 hingga 23 Oktober 2019 telah diadakan Program Menjejak Kecemerlangan atau dikenali sebagai SEMESRA iaitu singkatan kepada SM Sains Rembau. Program ini merupakan program anjuran di bawah kelolaan Majlis Eksekutif Pelajar diantara Kolej Dato’ Onn dan Kolej Tun Hussein Onn bagi menyambut kedatangan para pelajar lepasan PT3 dari SM Sains Rembau.

Program ini pertama kalinya diadakan pada tahun 2018 yang dicetuskan oleh mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UKM iaitu Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan yang memilih Kolej Dato’ Onn sebagi tuan rumah. Kesinambungan daripada program ini telah membolehkan Program Menjejak Kecemerlangan @ UKM 2.0 SEMESRA diadakan pada tahun 2019 yang menjadikan Kolej Tun Hussein Onn sebagai tuan rumah. Secara umumnya, objektif program ini diadakan adalah memberi gambaran dan pendedahan awal berkenaan universiti kepada para pelajar dari SM Sains Rembau disamping mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penganjuran program SEMESRA 2.0 di Kolej Dato’ Onn telah dikendalikan oleh Eksekutif Perhubungan Korporat, Alumni dan Pengantarabangsaan bersama 25 orang pemudahcara Kolej Dato’ Onn yang lain. Seramai 160 murid tingkatan 3 dan 3 guru pengiring telah menginap selama 3 hari 2 malam bersama pemudahcara yang telah ditetapkan. Lawatan selama 3 hari 2 malam ini turut merangkumi aktiviti jalinan mesra diantara para pelajar dan para pemudahcara antaranya sesi perkongsian akademik, latihan dalam kumpulan dan persembahan para pelajar. Selain itu, para pelajar juga turut dibawa untuk melawat ke tempat-tempat menarik di UKM seperti kilang coklat berdekatan Fakulti Sains Teknologi, Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Muzium Warisan Akademik. Malah terdapat juga aktiviti menarik yang turut diadakan seperti taklimat pengenalan kolej, malam kebudayaan dan aktiviti sukaneka.

Secara keseluruhannya, program ini memberi impak yang positif kepada para pelajar tentang gambaran kehidupan di universiti. Kesinambungan daripada program ini memperlihatkan hubungan yang erat diantara pihak Kolej Dato’ Onn dan SM Sains Rembau. Diharapkan agar program ini akan dapat dijalankan lagi pada tahun akan datang.

Disediakan oleh : Iffah Ezafel