MALAM APRESIASI GEMILANG 2021
Malam Apresiasi Gemilang (MAG) Kolej Dato’ Onn merupakan sebuah program tahunan kolej yang diadakan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian warga Kolej Dato’ Onn (KDO) yang terdiri daripada mahasiswa, majlis felo serta kakitangan pentadbiran kolej. Selain itu, MAG juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan mesra antara alumni dan warga KDO. Jemputan alumni bagi majlis penganugerahan ini adalah bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada mahasiswa dan merasmikan majlis pada malam tersebut. Hal ini secara tidak lansung dapat memberi suntikan semangat kepada mahasiswa untuk terus bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum seiring dengan kecemerlangan akademik dengan adanya kehadiran alumni sebagai perasmi di dalam majlis tersebut. Program Malam Apresiasi Gemilang pada tahun ini, membawa sedikit perbezaan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana ini merupakan julung-julung kalinya diadakan secara atas talian rentetan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Program Malam Apresiasi Gemilang ini telah berlansung pada 10 Julai 2020 yang membawakan sesi penganugerahan kepada mahasiswa bagi pencapaian dan sumbangan sepanjang sesi 2019/2020 dan sesi 2020/2021. Majlis penganugerahan ini dijalankan secara atas talian menggunakan platform Microsoft Teams dan mendapat penyertaan hampir 300 orang mahasiswa dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Professor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang merupakan Anggota Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) , mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi , mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan City University Malaysia serta merupakan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pada tahun 1985. Majlis yang berlansung pada malam tersebut juga bertemakan “Classic Vintage” bersesuaian dengan suasana KDO yang merupakan kolej terawal ditubuhkan di UKM.
Perasmi Majlis Aresiasi Gemilang (MAG) Kolej Dato’ Onn – YBhg. Professor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak
Sebanyak 10 kategori anugerah yang dipertandingkan dan seramai 66 orang penerima anugerah pada malam majlis ini berlansung. Anugerah-anugerah yang diberikan pada tahun ini bagi sesi 2019/2020 dan sesi 2020/2021 terdiri daripada Anugerah Kecemerlangan Kolej Dato’ Onn, Anugerah Apresiasi Gemilang, Anugerah Pelajar Harapan, Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Bakti Gemilang, Anugerah Nadi Kolej, Anugerah Tokoh Keusahawanan, Anugerah Ikon Seni Budaya dan Anugerah Ikon Harapan Sukan. Majlis yang gilang-gemilang pada malam tersebut dihangatkan lagi dengan adanya pertandingan King & Queen menerusi laman Instagram untuk disertai oleh warga KDO dan diumumkan sebagai Romeo & Julie of The Night. Sebanyak 4 slot penganugerah dan 4 buah persembahan ditayangkan buat tetamu yang hadir pada malam tersebut. Majlis pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan adanya sesi cabutan bertuah tanda penghargaan kepada tetamu yang hadir sama ada di Facebook Live Kolej Dato’ Onn atau di platform Microsoft Teams.
Disediakan oleh:
Nur Amirah Azmi