FESTIVAL TEATER UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2019/2020

Pada 23 November 2019 hingga 30 November 2019 telah berlangsung Festival Teater Universiti Kebangsaan Malaysia yang dianjurkan oleh Kelab Teater Rimba UKM. Festival ini telah mendapat sokongan yang amat menggalakkan dengan penyertaan semua kolej kediaman meliputi Kampus Bangi, KL dan Cheras.

Festival Teater ini merupakan pertandingan tahunan anjuran Kelab Teater Rimba bagi memastikan seni teater masih mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa. Tujuan utama Festival Teater (FESTER) ini dijadikan acara tahunan adalah mengangkat warisan kebudayaan, seni teater khasnya agar mengekalkan bidang seni ini secara langsung. Pertandingan ini juga dapat menyerlahkan bakat mahasiswa dalam seni pementasan teater malah turut membina keyakinan diri seseorang mahsiswa khusunya.

Pada pementasan kali ini, Kolej Dato’ Onn telah menghantar wakil produksi daripada Dato’ Onn Theatre yang telah membawa pementasan naskhah Bisikan Azazil karya Ahmad Faisal Redza. Seramai 27 orang kru produksi daripada Dato’ Onn Theatre telah dihantar bagi merealisasikan pementasan teater Bisikan Azazil dan mendapat giliran kelima untuk pementasan daripada 12 kolej yang bertanding. Pementasan teater pada kali ini adalah di bawah seliaan Felo Hadrry Rony malah Dato’ Onn Theatre telah menerima kunjungan khas dari bekas felo kebudayaan iaitu Diana Binti Johan yang berpengalaman sebagai pengarah dan pelakon untuk membantu dalam persiapan teater. Pementasan teater Bisikan Azazil lebih mengetengahkan konsep realist sebagai adaptasi yang berbeza berbanding sebelumnya dibantu dengan pelbagai elemen yang melengkapkan pementasan seperti tata cahaya, tata bunyi, busana dan tata rias yang hebat menjadikan sebuah pementasan yang amat bermakna.

Produksi Dato’ Onn Theatre telah berjaya merangkul Anugerah Khas Juri 1 bagi FESTER 2019 kali ini. Komitmen dan kerjasama yang diberi oleh semua ahli produksi telah membuahkan hasil dengan kemenangan anugerah tersebut. Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua kru dan produksi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi membantu melancarkan urusan pementasan tersebut dari awal hingga ke akhir. Penglibatan dan kejayaan yang dikecapi oleh produksi Dato’ Onn Theatre telah menaikkan nama produksi serta kolej.

Diharapkan dengan penglibatan dalam FESTER kali ini mampu mengembangkan lagi seni teater dalam kalangan mahasiswa serta mampu meraih kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang oleh produksi Dato’ Onn Theatre.

Disediakan oleh : Iffah Ezafel