Hari Interaksi Sukan Kolej Dato’ Onn 2017
Hari Interaksi Sukan Kolej Dato’ Onn dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi (SUKRA) yang diketuai oleh saudara Mohamad Azahar bin Ahmad. Program ini dijalankan sepanjang tiga hari iaitu dari 6 Oktober 2017 hingga 8 Oktober 2017. Acara yang dipertandingkan adalah acara bowling, sepak takraw, bola baling, bola tampar, bola jarring, badminton dan futsal. Pada hari pertama program ini dijalankan iaitu 6 Oktober 2017 tepat jam 2.30 petang, acara dimulakan dengan acara sukan sepak takraw, bola tampar dan bola jaring yang diadakan di Gelanggang Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan berakhir pada jam 7 malam. Manakala pada sebelah malam pula telah diadakan acara sukan catur yang bermula anggaran jam 8.30 malam hingga jam 11 malam.
Seterusnya, acara sukan diteruskan lagi dengan bola baling dan futsal pada hari kedua iaitu pada 7 Oktober 2017 jam 8 pagi sehingga jam 6 petang. Hari terakhir bagi program dijalankan pada jam 8 pagi sehingga jam 12 tengahari, acara badminton dijalankan bagi acara sukan penutupan. Pada sesi petang pula, majlis penutupan Hari Interaksi Sukan kolej dato’ Onn 2017 diadakan dan dirasmikan oleh ayahanda Pengetua Kolej Dato’ Onn, Dr. Mohd Azul bin Mohamad Salleh. Piala pusingan disampaikan oleh Dr. Mohd Azul kepada juara keseluruhan iaitu kepada Rumah Kuning dengan pungutan pingat sebanyak 5 emas, 3 perak dan 1 gangsa diikuti rapat oleh Rumah Merah ditempat kedua dengan pungutan pingat sebanyak 4 emas, 3 perak dan 1 gangsa. Manakala rumah biru ditempat ketiga dan rumah hijau ditempat yang keempat.
Program Hari Interaksi Sukan Kolej Dato’ Onn ini dilaksanakan adalah untuk mencungkit bakat baharu dalam kalangan pelajar Kolej Dato’ Onn. Bakat yang mereka ada perlu digilap dan diasah bagi mewakili kolej dalam Sukan Unversiti Kebangssan Malaysia (SUKEM). Pada masa yang sama, program ini juga bertujuaan untuk mencari pelapis baru dalam Kolej Dato’ Onn. Program ini bukan sahaja memfokuskan pada aktiviti sukan dan riadah sahaja, malahan program ini turut dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan hubungan kekitaan dalam kalangan pelajar Kolej Dato’ Onn.
Hari Interaksi Sukan ini telah mencapai objektif mereka iaitu dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja berbakat dalam akademik, malahan berbakat dalam bidang sukan, dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar Kolej Dato’ Onn dan dapat mewujudkan suasana yang sihat dalam diri setiap pelajar sejajar dengan slogan mereka iaitu “Think. Fight. Respect“.
Ditulis oleh: Setiausaha Kelab SUKRA