Jelajah Dakwah Muhibbah

 

Pengenalan Program

Jelajah Dakwah Muhibbah (TN50 masuk kampung), tercetusnya idea ini memberikan satu makna yang sangat indah bagi penduduk kampung dan mahaiswa Kolej Dato’Onn sendiri. Program JDM ini dilaksanakan pada 9-12 Februari 2017,  selama 4 hari 3 malam yang berkonsepkan keluarga angkat membawakan satu inovasi dalam pelaksanaannya. Konsep ‘straight dakwah’ yang ditekankan semasa aktiviti dijalankan disampaikan dalam bentuk adab dan akhlak yang dipamerkan oleh mahasiswa. Pemilihan kawasan di daerah Pendang adalah atas faktor keprihatinan ketua program untuk membantu penduduk di Kampung Rasau dan Kampung Asam Pagi dalam bentuk bantuan asnaf dan khidmat komuniti. Sambutan yang amat memberangsangkan oleh penduduk kampung memyambut kehadiran mahasiswa meningkatkan lagi semangat untuk mahasiswa kembali kepada masyarakat dalam menyumbangkan kudrat bakti kepada mereka. Sebanyak 47 buah keluarga asnaf telah dibantu dari segi keperluan harian, pakaian dan mushaf Al-Quran dalam majlis tautan mawaddah pada 10 Februari 2017 tersebut. Bukan itu sahaja, mahasiswa telah turun padang untuk melihat sendiri keadaan tempat tinggal asnaf serta mendoakan kesejahteraan mereka. Di samping itu, program ini turut dimeriahkan lagi dengan forum perdana dengan tiga orang panel dan seorang moderator pada malam sabtu tersebut. Pada petang jumaat, mahasiswa bersama penduduk kampung telah pergi ke kawasan perkuburan untuk melakukan gotong-royong. Tambahan pula, ikatan penduduk kampung dan mahasiswa Kolej Dato’Onn dieratkan lagi dengan sukan rakyat yang dirancang pada pagi sabtu dengan pelbagai acara seperti acara belon air, acara tarik upih, acara tarik tali, dan sebagainya. Selain itu, program ini turut dilengkapi dengan perkongsian ilmu yang diberi tajuk yang unik iaitu Al-fateh: Penakluk minda cemerlang dengan pendekatan ‘NLP Software for Brain’. Juga, terdapat majlis-majlis ilmu seperti tazkirah, bacaan yaasin, solat hajat dan lain-lain. Majlis penutupan bagi program JDM dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pemuda UMNO Pendang sebagai wakil bagi Dato’ Suraya iaitu ADUN Sg, Tiang. Program yang telah berjalan sepanjang 4 hari ini digunakan sepenuhnya ketika berada di sana dan memberikan satu impak bagi Kolej Dato’ Onn kerana ia merupakan program pertama yang berunsurkan inovasi dakwah dan kesukarelawanan. Program Jelajah Dakwah Muhibbah ini menjadi satu pencetus dan pemulaan bagi JDM 2.0 bagi menjelajahi suatu kawasan yang lain memurnikan lagi hasrat mahasiswa untuk kembali kepada masyarakat.

 

Matlamat

Matlamat yang ingin dicapai sepanjang program berlangsung adalah meninggalkan sesuatu makna dan impak dalam kalangan penduduk kampung dan mahasiswa dalam bentuk inovasi dakwah akhlak. Bukan itu sahaja, program ini berhasrat dapat membuka mata masyarakat bahawa mahasiswa kini masih prihatin terhadap keadaan masyarakat sekeliling malah sanggup mengorbankan kehidupan sebagai pelajar demi sebuah kehidupan masyarakat yang lain.

 

Objektif

Objektif program yang ingin dicapai adalah :

  • Melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja hebat dalam akademik malah hebat dari segi akhlak.
  • Melahirkan mahasiswa yang celik komuniti.
  • Membantu golongan asnaf di Pendang, Kedah.
  • Menjayakan program inovasi dakwah pertama dalam Kolej Dato’ Onn

 

Pemberian bantuan kepada asnaf oleh Pengetua Kolej Dato’ Onn, Prof. Madya Dr. Norinsan Kamil Othman (dua dari kiri)

 

Urusetia dan penduduk kampung bergambar selepas majlis perasmian pembukaan dan pembahagiaan keluarga angkat.

 

Sukan rakyat bersama orang kampung di bendang

 

Artikel disediakan oleh :
Nur Fatin Maisarah binti Roshisham (Pengerusi II, JDM)