HARI KERJAYA KEJURURAWATAN

Pada 2 November 2022 lalu, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor telah hadir merasmikan Hari Kerjaya Kejururawatan 2022 bertempat di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) UKM Cheras. Hadir sama, Profesor Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri & Masyarakat) , Dr. Jalina Binti Karim (Ketua Jabatan Kejururawatan) dan Dr. Mohd Arif bin Atarhim, selaku pengarah program Hari Kerjaya Kejururawatan 2022. Para bakal graduan dan pelajar-pelajar kejururawatan tahun 1 hingga 4 Fakulti Perubatan UKM turut sama memeriahkan acara perasmian tersebut.
Hari Kerjaya Kejururawatan ini diadakan bertujuan untuk menyediakan platfom “langkah pertama” kepada para graduan dan pelajar kejururawatan yang lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkembangan laluan kerjaya termasuk peluang pekerjaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Slot forum dan perkongsian pengalaman turut diadakan mengenai laluan kerjaya jururawat daripada wakil alumni kejururawatan UKM yang telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam peringkat yang lebih tinggi serta mempunyai pengalaman bekerja di dalam dan di luar negara tidak terhad untuk bahagian hospital sahaja. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada wakil agensi pengambilan pekerja kesihatan khususnya jururawat daripada seluruh malaysia. Ruang temuduga pekerjaan secara terbuka telah dijalankan menerusi 10 wakil hospital serta agensi pekerjaan antaranya UKM Specialist Centre (UKMSC), Hospital KPJ Selangor, Hospital Pantai KL, Melorita Healthcare Sdn Bhd, Institut Jantung Negara (IJN), My Care Concierge, AST Medical Clinic Sdn Berhad, Cality Care Malaysia, Hospital Thomson dan Hospital Prince Court.
10 wakil agensi pengambilan pekerja kesihatan yang menyertai program ini memberi maklumbalas positif kerana telah menepati objektif penyertaan mereka. Terdapat dua wakil agensi pengambilan pekerja kesihatan telah menyatakan hasrat untuk berbincang lebih lanjut tentang mengadakan kolaborasi serta menjalankan usaha sama dengan pihak Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan UKM berkaitan dengan program Sarjana Muda Kejururawatan UKM pada masa akan datang.
Sumber petikan: Facebook Fakulti Perubatan UKM