Perlembagaan
1 – Pertubuhan ini dikenali dengan nama:
Kelab Sukan dan Kebajikan,
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia.
2 – Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah:
Pejabat Dekan,
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan.
3 – Tujuan atau matlamat menubuhkan kelab ini adalah untuk :
Menggerakkan aktiviti sukan serta mencungkil bakat-bakat baru di kalangan kakitangan di dalam sukan.
Menanam dan menyebarkan hakikat persaudaraan yang sebenarnya kepada seluruh ahli fakulti merangkumi pelbagai aspek kebajikan dan kemasyarakatan.
Membantu ahli ke arah meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja ke tahap yang lebih cemerlang dan berusaha mendedahkan ahli kepada aktiviti dan gerak kerja yang boleh membantu membina dan meningkatkan pembangunan diri.
4 – Keahlian ahlli-ahli Kelab adalah terbuka dan terdiri daripada semua kakitangan Fakulti Kejuruteraan sahaja.
Seorang pelajar universiti atau kakitangan dari fakulti lain tidak boleh diterima menjadi ahli Kelab ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi satu tempoh sebagaimana yang difikir munasabah oleh jawatankuasa.
5 – Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
Bayaran masuk : RM 5.00
Yuran bulanan : RM 2.00
Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang ditentukan boleh dikutip dengan persetujuan Mesyuarat Agung.
Pemberian cenderahati/cenderamata akan diberikan kepada ahli-ahli untuk perkahwinan, kelahiran dan sakit. Bayaran sumbangan kepada ahli/keluarga ahli Kelab yang sakit adalah sebanyak RM50.00 dan jumlah sumbangan tidak perlu dinyatakan dalam laporan, memadai dengan jumlah besar dalam laporan kewangan.
6 – Mesyuarat agung adalah seperti berikut:
Pengolahan pertubuhan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:- a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu,
b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diodit bagi tahun yang lalu,
c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang dan
d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan:-
a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa atau
b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perempat (1/4) dari yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.
Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesai mesyuarat itu.
7 – Satu Jawatankuasa hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:
– Seorang Yang Dipertua
– Seorang Naib Yang Dipertua
– Seorang Setiausaha
– Seorang Penolong Setiausaha
– Seorang Bendahari
– Seorang Penolong Bendahari
– Sembilan orang Ahli Jawatankuasa Biasa: 2 orang wakil setiap Jabatan dan 1 orang wakil dari Pejabat Dekan)
– Dua orang yang bukannya pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai pemeriksa kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.
Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Jika seseorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhi kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah jawatankuasa melantik ahli lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
8 – Perkara mengenai kewangan pertubuhan:
Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tugas-tugas Pertubuhan.
Penyata perihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik.
Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.
Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir 31 Disember tiap-tiap tahun.
9 – Mengenai pembubaran pertubuhan:
Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam satu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.
Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftaran Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.