Pelancaran Buku ‘Wajah Malaysia Dalam Gurindam Lagu-Lagu’, 19 Oktober 2023

Pada 19 Oktober 2023 (Khamis), majlis pelancaran buku ‘Wajah Malaysia dalam Gurindam Lagu-Lagu’ (2022), hasil karya sulung Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik (KITA), Dr. Shazlin Amir Hamzah telah berlangsung di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, dengan dirasmikan oleh Pengasas Yayasan BUDI, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Melalui buku yang diterbitkan daripada tesis kedoktoran beliau, Dr. Shazlin membincangkan pembentukan jenama negara Malaysia dengan meneliti lagu-lagu patriotik popular tempatan di atas susur masa sejarah antara tahun 1950 hingga 1969, termasuk lagu Negaraku. Perkongsian daripada buku ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pembaca dalam memahami penjenamaan bangsa Malaysia dan latar belakang suasana susur masa sejarah sosiopolitik negara.

Hadir bersama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil; Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin FASc; dan Timbalan Pengarah KITA, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid. Antara jemputan khas yang turut hadir memeriahkan majlis adalah Datuk Johari Salleh, En. Paul Augustin (Penang House of Music), En. Imri Nasution (Kino-i Pictures) dan keluarga penulis.