PESTA TANGLUNG D’ KAJAI
KOLEJ RAHIM KAJAI, 11 OKTOBER:
Kajai Chinese Club (KACC) telah menganjurkan Pesta Tanglung D’ Kajai pada 8 Oktober 2016 yang terbuka kepada seluruh warga Kolej Rahim Kajai bertempat di Kafe Kolej Rahim Kajai. Pesta Tanglung D’ Kajai ini adalah bertujuan untuk mendedahkan budaya dan perayaan kaum cina kepada semua kaum bagi memupuk persefahaman dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara warga Kolej Rahim Kajai.
Program Pesta Tanglung D’ Kajai telah disokong serta dihadiri oleh Prof Madya Dr Roslee bin Rajikan, pengetua Kolej Rahim Kajai, Dr Zalifah binti Mohd Kassim, timbalan pengetua Kolej Rahim Kajai, felo-felo kanan dan juga barisan Majlis Eksekutif Pelajar. Ketua pengarah bagi Pesta Tanglung D’ Kajai ialah Teo Pei Woon, mahasiswi tahun dua yang juga merupakan naib pengerusi KACC.
Sempena program Pesta Tanglung D’ Kajai pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti tayangan video mengenai asal usul Pesta Tanglung, sesi pengajaran dan pembelajaran perkataan bahasa mandarin yang berkaitan dengan Pesta Tanglung, sesi soal jawab dan juga sketsa berkaitan asal usul Pesta Tanglung oleh ahli KACC tahun satu. Melalui aktiviti-aktiviti tersebut warga Kolej Rahim Kajai yang berbilang kaum telah dapat lebih memahami budaya dan perayaan kaum cina dan objektif Pesta Tanglung D’ Kajai telah tercapai.
Selain itu, sebuah perarakan tanglung juga telah diadakan ke sekitar kawasan UKM. Semua peserta berarak dari Kolej Rahim Kajai ke Dewan Gemilang dengan membawa tanglung yang berwarna-warni. Seterusnya di Dewan Gemilang, sebuah upacara pelepasan Skylantern turut dijalankan oleh dif-dif kehormat di mana hasrat ditulis di atas Skylantern dan dilepaskan ke atas langit. Ini merupakan tradisi kaum cina yang diwarisi secara turun temurun. Semua peserta telah berseronok dan menikmati proses tersebut selain saling mengenali antara satu sama lain.
Secara keseluruhannya, program Pesta Tanglung D’ Kajai telah berjalan dengan jayanya dan tercapai objektif-objektifnya