BERITA: GANDINGAN PENYANYI BERBAKAT MEMBAWA KEJAYAAN BESAR

Disediakan oleh : Nur Syahzanani Sajidah Binti Mohamed Nazarudin

Pertandingan Kesenian Inter-Kolej sempena Pesta Konvokesyen UKM ke-46 telah menyaksikan kejayaan bagi Kolej Rahim Kajai dalam pertandingan nyanyian duo apabila telah memenangi tempat pertama.

Fazlan Kamaruzaman bersama pasangan duonya iaitu Faliq Haziq telah mendendangkan lagu ‘Ya Maulai’ di dalam pertandingan duo yang telah diadakan di Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman, semalam.

Selain itu, penyanyi duo yang merupakan pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah menyatakan rasa kesyukuran di atas kemenangan yang telah mereka kecapi.

“Saya rasa amat bersyukur dan gembira kerana ini merupakan kali pertama saya memasuki pertandingan nyanyian dan juga nyanyian lagu irama Malaysia”, kata Faliq Haziq.

Manakala Fazlan Kamaruzaman yang telah mula menyanyikan lagu irama Malaysia sejak dari umur 10 tahun lagi mengatakan bahawa kemenangan dalam pertandingan duo merupakan kemenangan yang tidak disangkakan. “Membawa lagu irama Malaysia bagi saya tidak susah kerana saya telah mula menyanyikannya sejak dari umur 10 tahun, namun saya tidak menjangka akan menang kerana persaingan yang amat sengit”, ulas beliau.

Sementara itu, Kolej Rahim Kajai juga turut memenangi Anugerah Khas Juri dalam pertandingan tersebut.