Minggu Mesra Mahasiswa
4 Oktober : Minggu Mesra Mahasiswa telah berlangsung bermula daripada 4 sehingga 7 Oktober 2020 yang lalu. Kolej Rahim Kajai menerima seramai hampir 380 orang pelajar baharu namun akibat perubahan keputusan di saat akhir menyebabkan hanya segelintir sahaja pelajar baharu tahun 1 yang mendaftarkan diri. Sesi pendaftaran ini berlangsung daripada 8 pagi sehingga 5 petang selama dua hari mengikut pecahan negeri yang ditetapkan.
Seramai 40 orang Pemudah Cara (PC) Kolej Rahim Kajai terlibat dalam urusan pendaftaran dan Minggu Mesra Mahasiswa kali ini. Akibat daripada perubahan pada saat akhir yang berlaku, sesi MMM terpaksa dijalankan secara atas talian sepenuhnya melalui platform Instagram rasmi Kolej Rahim Kajai. Platform ini dipilih memandangkan rata-rata pelajar memiliki dan aktif dalam laman sosial ini.
Oleh itu, ia akan lebih memudahkan dan mampu mendapat sambutan yang lebih ramai daripada para pelajar baharu untuk tetap merasai kehangatan dan keseronokan MMM di UKM walaupun berada di kediaman masing-masing. Tuan Pengetua, Dr Badrulzaman merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua PC yang bertugas dan menjayakan MMM KRK pada sesi kali ini walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang besar dan unik kerana ini adalah MMM yang pertama secara atas talian.