BERITA : 5 PELAJAR DARI KOLEJ RAHIM KAJAI SERTAI PROGRAM MOBILITI UTM KE ACHEH
Disediakan oleh: Nurul Ain Binti Samad
Seramai 28 orang mahasiswa, termasuk 5 orang pelajar dari Kolej Rahim Kajai telah menyertai satu program mobiliti anjuran Universiti Teknologi Malaysia iaitu Aceh’19 Libatsama Komuniti UTM.
Program yang berlangsung selama 8 hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya adalah Bengkel Teknologi Fiberglass, Bengkel Penanaman Pokok melalui kaedah Fertigasi, aktiviti gotong-royong dan mengutip sampah di Gampong Pande yang terletak di sekitar Makam Kesultanan Melayu Acheh serta aktiviti menanam pokok paya bakau di Gampong Pande dan Gampong Lamdingin.
Kesemua pelajar yang terlibat termasuk 5 pelajar dari Kolej Rahim Kajai yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah ditempatkan di Gampong Lamdingin untuk penginapan dan kelancaran aktiviti yang bakal diadakan.
“Saya berasa gembira dan teruja kerana telah terlibat dengan program yang sebegini, di mana hubungan antara dua negara dapat dieratkan serta ragam rata-rata masyarakat yang terdapat disini sangat mesra dan peramah”, kata Muhammad Rizan Azim bin Abdul Razak, Timbalan Ketua Projek bagi wakil dari UKM.
Kesemua pelajar yang mengikuti program mobiliti ini dijangka pulang ke tanah air pada 27 April ini.