BERITA: FESTER 2018 – LENTERA KAJAI RAIH TEMPAT KETIGA

Disediakan Oleh: Muhammad Faidhi Bin Fadzil

 

Kolej Rahim Kajai dikejutkan dengan kemenangan kelab teater Lentera Kajai, yang mendapat tempat ketiga dalam Festival Teater UKM 2018 (FESTER) baru-baru ini.

Pementasan teater yang dibawa oleh Lentera Kajai kali ini berjudul Pusaran Angin Songsang, sebuah teater aliran realisme sebenar. Naskhah ini merupakan karya asal Rusaidi Ramli, dan telah diarahkan oleh saudara Muhammad Syafrin.
.
“Saya rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan izinnya pada tahun ini, kelab Lentera Kajai yang bernaung dibawah kelab Adyratna Kolej Rahim Kajai telah berjaya meraih tempat ke-3 dalam pertandingan FESTER tahun ini.”
.
“Ini merupakan satu batu loncatan kepada krew produksi kami sendiri untuk terus maju dan terus melakar nama di persada pentas teater yang akan datang.”, ujar saudara Muhammad Hazwan Helmi selaku presiden kelab teater tersebut.

Pusaran Angin Songsang mengisahkan mengenai usaha pemilik kilang memproses bahan kimia untuk mendapatkan tanah penduduk kampung bagi meluaskan kawasan kilang miliknya.

Ngah Dohat diupah merencanakan muslihat memujuk orang kampung menjual tanah mereka kepada pemilik kilang itu. Pada masa yang sama di kampung itu seorang lelaki bernama Agus sedang berhadapan konflik diri lantaran terjebak dengan ketagihan berjudi dan dibebani hutang yang menekan kehidupannya.

Pelbagai ikhtiar dilakukan Agus untuk mendapatkan sumber kewangan bagi memenuhi tuntutan nafsunya untuk terus berjudi dan melangsaikan semua hutangnya yang terbeban.

Inah isterinya yang sarat mengandung menjadi mangsa dengan sikap Agus yang bagaikan hilang pedoman itu.

Konflik Agus menjadi semakin parah apabila dia berhadapan dengan ibunya (Mak Long) dan memujuknya menjual sebahagian tanah itu kepada pemilik kilang. Keengganan Mak Long berbuat demikian menjadikan Agus mula hilang pertimbangan akal sehingga fikirannya mudah diracuni fitnah Ngah Dohat.

Kolej Rahim Kajai mengucapkan tahniah kepada Lentera Kajai, khususnya buat mereka yang telah bertungkus-lumus menjayakan pementasan teater kali ini.