BERITA: KOLEJ RAHIM KAJAI PERKUKUH KERJASAMA DENGAN INSTITUT ONN JAAFAR
Berita oleh: Mohamad Azlan Mohamad Nasrun
SELASA BERSAMAAN 29 OGOS 2017
Semarak kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa/i Kolej Rahim Kajai (KRK) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diperkasa menerusi kerjasama dengan Institut Onn Jaafar (IOJ) dalam menganjuran Malaysian United Run (MUR) Edisi Ke-2. Pelancaran penuh gemilang tersebut telah berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak dan telah dirasmikan oleh penaung IOJ merangkap Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Dalam Majlis Pelancaran MUR tersebut, beliau melahirkan rasa bangga terhadap mahasiswa/i UKM yang menyokong program tersebut dan percaya bahawa generasi muda masih mengamalkan konsep kesatuan dalam memerangi keganasan dan perpecahan menerusi aktiviti kesukarelawan. Naib Canselor UKM, Yang Berbahagia Prof.Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berpendapat bahawa program seperti ini merupakan platform kepada mahasiswa/i UKM dalam menzahirkan semangat patriotisme selain berpeluang untuk menggiatkan kerjasama dengan agensi-agensi NGO.
KRK telah diberi kepercayaan selaku penganjur bersama mewakili UKM bersama Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) dalam menjayakan MUR yang dijadualkan pada 18 November 2017 ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, wakil-wakil IPTA dan IPTS, para penaja MUR dan mahasiswa/i baharu UKM- HABIS