Perkampungan ilmu 2017 bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1)

7/8/2017
Pada 3 hingga 5 Ogos 2017 yang lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) telah bekerjasama dengan pihak Kolej Rahim Kajai, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mengadakan suatu perkampungan ilmu khas yang melibatkan 160 orang murid dan 12 orang guru daripada sekolah tersebut. Beberapa slot seminar subjek telah pun diadakan sepanjang 3 hari tersebut menampilkan guru-guru penceramah hebat dari segenap subjek antaranya Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah, Sains dan pelbagai lagi. Program ini juga turut dibantu oleh 22 orang fasilitator daripada barisan Felo dan Majlis Eksekutif Pelajar bagi melancarkan lagi perjalanannya.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar sekolah untuk merasai suasana pembelajaran di universiti selain dapat menitipkan semangat belajar bersungguh-sungguh   dalam menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini ialah bengkel akademik yang memuatkan sebanyak tujuh slot subjek siang dan malam. Melalui program ini, para pelajar dapat mengetahui tips belajar dan cara menjawab soalan peperiksaan SPM dengan berkesan serta betul. Bengkel akademik ini telah berjaya menarik minat guru-guru yang berpengalaman dalam bidang pengajaran masing-masing untuk terlibat dalam bengkel ini. Aktiviti kedua yang dijalankan ialah program motivasi. Program motivasi ini telah menampilkan dua personel hebat iaitu Saudari Noviatin binti Sharifuddin, seorang mahasiswa UKM serta Dr. Abd Halek atau lebih mesra dengan panggilan Pak Anjang untuk datang memberi pendedahan agar diri pelajar lebih berkeyakinan dalam sesi pembelajaran. Program ini juga dilihat mampu mencungkil kelebihan diri individu untuk terus maju dalam pelajaran serta memberi kesedaran kepada para pelajar supaya tidak melupakan jasa ibu bapa. Aktiviti riadah juga turut dijalankan untuk menghilangkan tekanan pelajar dalam pembelajaran. Aktiviti terakhir yang dijalankan ialah lawatan ke Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL),UKM. Melalui lawatan ini, pelajar-pelajar telah mengetahui sejarah penubuhan PTSL, dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

 

Gambar untuk program  https://www.facebook.com/media/set/?set=a.1581331205272714.1073741870.1181799915225847&type=1&l=b5003a2979