KOLEJ RAHIM KAJAI

 "Perpaduan Asas Keharmonian"

Sugar Baby : “Triumphing in Times of Trouble”

 

11 JUN : Biro Kebajikan dan Kaunseling Kolej Rahim Kajai telah menganjurkan satu siri webinar ‘Sugar Baby : Triumphing in Times of Trouble’ pada Jumaat lalu.
Menurut pakar psikologi sosial, Prof Rozmi Ismail dari FSSK UKM, isu sugar baby ini merupakan sebuah isu yang berkaitan dengan sifat moral dan juga boleh diperkatakan sebagai isu moral. Isu ini juga merupakan isu yang ditolak oleh setiap agama, bangsa dan juga negara. Tidak dapat dinafikan bahawa data dari aplikasi Sugarbook mungkin meragukan ataupun tidak sahih tetapi fokus utamanya sepatutnya adalah kewujudan isu ini, tanpa kita mengira jumlahnya banyak ataupun sedikit.
Saudari Kavena menyatakan pula isu ini menimbulkan persoalan yang paling ketara antara mahasiswa iaitu apakah faktor di sebaliknya? Tiada sesiapa pun yang mengetahui faktor sebenar kecuali individu yang pernah terjebak dalam isu ini ataupun yang pernah jadi sugar baby. Jadi, apa yang kita boleh lakukan adalah tidak menilai dengan cepat kerana tindakan kita yang melulu itu akan membantutkan rasional minda kita.
Pada pendapat Prof Rozmi, antara faktor psikologi bagi isu sugar baby ini adalah kurang pemahaman ataupun silap memahami maksud cinta sejati. Cinta yang sejati mestilah terdiri daripada tiga komponen iaitu keintiman, nafsu dan komitmen. Selain itu, gaya keibubapaan ataupun cara seseorang dibenarkan adalah sangat penting kerana elemen ini akan membentuk masa hadapan seseorang. Sebagai contoh, apabila terputus elektrik di rumah, kita minta anak untuk bersabar dan bersabar. Jadi apabila dewasa, anak tidak akan mengambil tindakan yang melulu tetapi akan bersabar untuk berfikir dan mengambil langkah yang tepat.
Walaubagaimanapun, masyarakat tidak boleh terlalu cepat menilai ataupun melontarkan kata-kata negatif kepada golongan sugar baby ataupun mereka yang pernah menjadi sugar baby kerana kita tidak tahu hakikat di sebaliknya.
Isu sosial seperti ini perlu diatasi dengan efektif agar isu tidak akan menjadi suatu norma baharu masyarakat. Pendidikan kepada masyarakat adalah penting. Sekiranya isu sosial seperti isu sugar baby ini tidak ditangani dengan segera, kita khuatir bahawa masyarakat akan berbalik kepada 300 tahun yang lalu, iaitu menjadi kembali dunia ataupun negara yang tidak bertamadun. Perkara ini didengari dahsyat tetapi tidak mustahil untuk menjadi realiti.