BENGKEL ASAS PENGHASILAN POSTER CANVA, ADOBE PHOTOSHOP DAN ADOBE ILLUSTRATOR

Bengkel Asas Penghasilan Poster dianjurkan oleh Sekretariat Informasi dan Penerbitan Kolej Ungku Omar (KUO) bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas penghasilan poster menggunakan aplikasi Canva, Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator. Melalui ilmu yang telah diperoleh, pelajar dapat meluaskan kreativiti dalam menghasilkan poster yang menarik dan berkualiti tinggi. Seramai 167 orang telah menyertai bengkel yang dijalankan pada 6 dan 7 November 2020 ini melalui platform Microsoft Teams.

Pada 6 November 2020, sesi pertama program dimulakan pada jam 9 malam dengan pengenalan kepada aplikasi Canva dan diikuti dengan penyampaian teknik penghasilan poster menggunakan aplikasi Canva. Kesemua isi bengkel disampaikan dengan jayanya oleh Saudari Lynn Syazwanie merangkap Eksekutif Informasi dan Penerbitan KUO. Kesemua peserta diminta untuk menghasilkan poster tersendiri dan menyerahkannya pada penghujung sesi pertama yang berakhir pada jam 11 malam.

Pada 7 November 2020 pula, sesi kedua bengkel dimulakan pada jam 2.30 petang dengan pengenalan ringkas tentang aplikasi Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator dan disambung dengan pengajaran teknik crop dan cut menggunakan Adobe Photoshop. Seterusnya, peserta diberi peluang untuk berehat selama 5 minit. Bengkel diteruskan dengan pengajaran teknik pencarian vector, teknik penggunaan vector dan akhir sekali teknik penghasilan poster menggunakan Adobe Illustrator. Sebagai aktiviti amali, peserta diminta untuk menghasilkan sebuah poster dan menyerahkannya pada akhir sesi kedua. Akhir sekali, semua peserta dibenarkan untuk bersurai pada jam 6 petang.

Keseluruhan poster yang dihasilkan oleh para peserta menunjukkan kepelbagaian serta keluasan kreativiti yang berjaya diserlahkan dengan pengaplikasian bahan secara menyeluruh. Hal ini sejurus dapat membuktikan kejayaan dalam mencapai objektif penganjuran Bengkel Asas Penghasilan Poster ini.