GIRL’S TALK: OVERCOMING INSECURITIES

Sekretariat Hal Ehwal Siswi Kolej Ungku Omar buat julung kalinya telah menganjurkan program bual bicara secara khususnya kepada seluruh mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Tujuan utama program bual bicara ini diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada semua mahasiswi bahawa pentingnya keyakinan dalam diri seseorang wanita. Dalam masa yang sama, program ini juga memberikan pendedahan kepada mahasiswi untuk menguruskan emosi dengan lebih baik dalam menghadapi kehidupan seharian. Selain itu, program ini juga akan memberikan peluang dan ruang kepada para mahasiswi untuk bertanya secara langsung mengenai hal-hal wanita kepada panel jemputan.

Oleh itu, pada semester ini, Sekretariat Hal Ehwal Siswi telah menganjurkan program yang bertajuk Girl’s Talk: Overcoming Insecurities yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Puan Yuslina binti Johari dan pegawai psikologi iaitu Puan Nurul Nadia binti Rosli sebagai penceramah jemputan bagi program ini. Program ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan platform Microsoft Teams selama dua jam lima belas minit dan dihadiri seramai 120 orang peserta mahasiswi daripada pelbagai institusi pengajian samaada awam mahupun swasta.

Objektif utama program adalah untuk membantu mahasiswi meningkatkan keyakinan diri masing-masing bagi menghilangkan rasa kebimbangan terhadap ketidaksempurnaan diri. Disamping itu, program ini juga dijalankan bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswi kepada cara-cara untuk menguruskan emosi dengan baik dan positif.

Selain daripada sesi bual bicara dijalankan, terdapat aktiviti cabutan bertuah telah dianjurkan oleh sekretariat siswi kepada para peserta yang hadir bagi merancakkan lagi program tersebut. Pelbagai hadiah menarik telah disediakan kepada para pemenang seperti tudung, makanan dan alat tulis yang ditaja oleh beberapa usahawan muda. Justeru itu, sebanyak 19 orang peserta telah memenangi cabutan bertuah tersebut.