HARI INTERAKSI KELAB IQRA’ 2020/2021

Hari Interaksi Kelab Iqra’ merupakan sebuah program wajib yang sering dianjurkan oleh Kelab Iqra’ Kolej Ungku Omar bagi setiap sesi yang baru bagi memperkenalkan Kelab Iqra’ kepada ahli kelab yang baharu di samping untuk mengeratkan lagi hubungan antara Tanzim dengan ahli kelab. Disebabkan masalah pandemik Covid-19, hari interaksi yang selalunya dijalankan secara bersemuka telah diubahsuai dengan mengadakannya secara atas talian bagi menjaga keselamatan para pelajar.

Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan kelab serta pengenalan diri oleh para Tanzim Kelab Iqra’ pada tahun 2020/2021 di medium Microsoft Teams pada jam 9.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Seterusnya, diikuti pula dengan sesi Mentor Mentee pada jam 2.00 hingga 4.30 petang di medium Discord di mana ahli kelab Iqra’ yang baharu akan dibahagikan dalam beberapa kumpulan dan para Tanzim akan menjadi mentor bagi kumpulan yang telah ditetapkan. Sesi ini diadakan bagi mengenali ahli baharu dengan lebih dekat supaya tidak ada pelajar yang terpinggir. Tambahan lagi, sesi kedua ini diakhiri dengan satu permainan atas talian iaitu ‘Among Us’ oleh setiap kumpulan bagi merapatkan lagi hubungan antara ahli kumpulan dengan mentor yang terlibat.

Akhir sekali, sesi kemuncak yang diadakan adalah sesi ‘Movie Night’ di mana para Tanzim beserta ahli kelab Iqra’ yang baharu akan dikumpulkan bersama di medium Microsoft Teams pada jam 9.00 hingga 11.00 malam bagi menonton satu filem yang menarik yang bertajuk ‘Forgotten’ bersama-sama dan diakhiri dengan beberapa pelajar memberikan pengajaran yang boleh diperolehi daripada filem tersebut untuk dijadikan manfaat bersama.

Kesimpulannya, Hari Interaksi Kelab Iqra sesi 2020/2021 telah berjaya dilaksanakan dengan baik sekali di mana penglibatan ahli kelab baharu dalam program ini yang sangat memuaskan di samping objektif bagi mengeratkan hubungan antara Tanzim serta ahli kelab baharu dapat dicapai selaras dengan tema program ini iaitu ‘Ukhuwah itu Indah’.