JOM BORAK SENI 1.0: “COVID-19: CABARAN DAN MASA DEPAN AKTIVITI KESENIAN DALAM KAMPUS”

JOM BORAK SENI 1.0:

“COVID-19: CABARAN DAN MASA DEPAN AKTIVITI KESENIAN DALAM KAMPUS”

            Program “Jom Borak Seni” merupakan program bual bicara anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Warisan Kolej Ungku Omar yang membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan seni budaya bersama dengan para penceramah jemputan. Program kali ini membincangkan isu COVID-19 dan kesannya terhadap aktiviti kesenian di kampus. Seperti yang diketahui umum, aktiviti kebudayaan yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Universiti secara berkala seperti Festival Teater dan Pesta Konvokesyen tidak dapat dijalankan lagi selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara yang tidak membenarkan aktiviti-aktiviti kesenian dilakukan di samping melarang sebarang bentuk perkumpulan. Hal ini dilihat sebagai salah satu cabaran besar dalam usaha untuk memupuk dan memastikan seni budaya dalam kalangan generasi muda dapat terus dipelihara. Program ini diadakan bertujuan untuk mengenal pasti cabaran dan masa depan aktiviti kesenian dalam kampus serta memberi panduan kepada persatuan, kelab dan sekretariat kebudayaan di kolej-kolej kediaman mengenai aktiviti kesenian yang boleh dilaksanakan sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Program ini telah berlangsung pada 22 November 2020 di platform Microsoft Teams dari jam 8.30 malam hingga 10 malam. Penceramah yang dijemput merupakan Puan Hazelina Ghazaly iaitu Ketua Unit Kemahasiswaan Pusat Kebudayaan Universiti yang juga merupakan penasihat Persatuan Artisukma. Antara topik yang disentuh sepanjang sesi bual bicara ini adalah mengenai alternatif yang dilakukan oleh Pusat Kebudayaan Universiti sendiri dalam memastikan aktiviti kesenian dapat terus dijalankan ketika norma baharu. Program ini mendapat sambutan yang baik dengan sejumlah 140 orang pelajar sebagai peserta. Maklumbalas yang diterima menunjukkan ramai peserta telah mendapat pengetahuan dan panduan yang berguna dalam menjalankan aktiviti kesenian terutama bagi organisasi kebudayaan seperti kelab kebudayaan kolej dan MEP Kebudayaan bagi setiap kolej. Program ini dijangkakan akan dilakukan secara berterusan pada masa hadapan melihat kepada kepentingan dan kerelevannya.