PARDUS BATTLEGROUND 2020

Pardus Battleground 2020 merupakan satu kejohanan e-Sport yang telah diadakan sebagai salah satu aktiviti anjuran Majlis Eksekutif Pelajar Sukan dan Rekreasi Kolej Ungku Omar, Sesi 2020/2021, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan bertemakan ‘E-Sport Masa Depan Negara, kejohanan ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa di mana e-Sport bukan sekadar permainan bagi mengisi masa lapang, sebaliknya mampu membuka peluang pekerjaan yang besar di samping menjana pendapatan sampingan.

Kejohanan ini telah diadakan secara atas talian, satu bentuk inovasi yang bersesuaian dengan norma baharu, di mana ia turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dengan aktiviti kolej walaupun berada di rumah masing-masing. Ia juga merupakan satu inisiatif bagi mencegah penularan wabak virus pandemik Covid-19 yang masih berleluasa di dalam komuniti.

Kejohanan ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 hingga 20 Disember 2020. Ia telah mendapat sambutan yang hebat bukan sahaja dalam kalangan pelajar UKM malah juga peserta daripada luar UKM. Peserta terdiri daripada 132 orang (33 kumpulan) di mana setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang peserta, lalu dibahagikan kepada dua liga, iaitu Liga A dan Liga B. Setiap kumpulan yang menduduki ranking 10 terbaik bagi setiap liga layak ke perlawanan akhir kejohanan.

Hadiah yang disediakan pula termasuklah hadiah bagi Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga dan Peserta Terbaik Kejohanan (MVP). Hadiah ini telah disertakan dengan sijil penyertaan kepada setiap pemenang dan peserta melalui penghantaran pos sebagai tanda penghargaan kepada mereka dalam menjayakan kejohanan ini secara bersama, di samping meraikan usaha dan kemenangan para pemenang.